Cuti Peristiwa Raya Ketiga Dipertimbang - KSN

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mempertimbang permohonan penjawat awam yang mahu supaya tarikh 8 Julai ini iaitu hari Jumaat yang juga hari ketiga sambutan Aidilfitri dijadikan sebagai cuti peristiwa khas.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata permohonan yang disampaikan menerusi Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) itu akan dibawa untuk perbincangan dalam mesyuarat peringkat tertinggi kerajaan.


"Bagaimanapun perbincangan mengenai cuti khas itu hanya terpakai untuk negeri-negeri yang bekerja pada hari Jumaat minggu perayaan terbabit.

"Insya-Allah saya akan bawa perkara ini untuk dirundingkan, sebab kerajaan memang tidak pernah ada cuti peristiwa hanya untuk negeri yang kerja pada hari Jumaat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Khas bersama Ahli Kongres CUEPACS di sini hari ini. Yang turut hadir Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda.

Sementara itu, Ali turut meminta CUEPACS supaya turut bersama memberi cadangan kepada kerajaan cara untuk meningkatkan hasil negara.

"Sudah sampai masa untuk CUEPACS turut menjadi rakan bagi membantu memberi idea dan pandangan mereka. Ini satu cabaran bukan sahaja kepada CUEPACS tapi juga jabatan lain," katanya.

Rujukan: BeritaHarian

lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments