Komuniti LGBT Indonesia resah

Image may contain: one or more people and close-up

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia mula menggempur sarang kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) hingga ia menimbulkan keresahan dalam kalangan golongan itu.

Tindakan tegas itu diambil susulan gesaan pertubuhan dan kumpulan Islam di negara yang mencatatkan bilangan umat Islam terbesar dunia itu mahu hubungan seks sejenis dianggap sebagai jenayah.

Sebelum ini, pertubuhan Barisan Pembela Islam (FPI) bertindak membanteras parti gay dan menggesa polis menahan lelaki-lelaki yang terlibat.

Bagaimanapun, apa yang lebih menakutkan komuniti LGBT apabila polis sendiri telah mengambil alih peranan sebagai pasukan pencegah maksiat.

Pada Mei lalu, polis menahan seramai 141 lelaki dalam serbuan di sebuah salun di sini, menyebabkan kesemua lelaki itu dituduh terlibat dalam sindiket pelacuran gay.

Kira-kira sebulan sebelum itu, polis menyerbu sebuah hotel di bandar kedua terbesar di Indonesia, Surabaya berhubung laporan parti seks dan memaksa 14 lelaki yang ditahan menjalani ujian HIV.

Media tempatan turut melaporkan tindakan polis yang kemudiannya mendedahkan keputusan ujian itu kepada umum.

“Sebelum ini, kami menganggap polis sebagai penyelamat apabila pertubuhan ataupun kumpulan yang mendakwa mewakili orang ramai datang untuk menyerang kami.

“Sekarang jika saya mahu melakukan sesuatu, saya akan melakukannya di dalam apartmen saya, dalam ruang persendirian,” kata Adi yang turut terkesan susulan tindakan tegas polis itu.

Adi, 28, kini bimbang kerana situasi telah berubah kerana menganggap pihak berkuasa tidak lagi melindungi hak mereka, malah menyasarkan komuniti LGBT.

Situasi itu memaksa ramai pengamal LGBT untuk menyembunyikan cara hidup mereka atau merancang berpindah ke luar negara.

Bagaimanapun, pihak polis tampil menafikan mereka bertindak menyasarkan komuniti LGBT.

“Kami menyerbu sauna Atlantis dan hotel di Surabaya kerana perhimpunan tersebut mengganggu masyarakat.

“Selagi mereka melakukan kegiatan LGBT secara rahsia, ia tidak menjadi masalah buat kami,” kata jurucakap polis nasional, Rikwanto.- Reuters

Comments

comments



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments