Aishah terkejut dapat hadiah lot tanah

Foto Rohani Alam Shah.

JUARA Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Aishah mengakui terkejut dan hanya mengetahui jumlah hadiah yang ditawarkan untuk pemenang tempat pertama program itu ketika saingan separuh akhir minggu lalu.

Menurut Aishah atau Wan Aishah Wan Ariffin, 52, hadiah yang ditawarkan membuat dia berazam untuk melakukan yang terbaik di pentas akhir program itu.

“Saya memang dah tahu tentang hadiah wang tunai RM100,000 tapi hadiah sampingan lain baru tahu semasa separuh akhir lalu.

“Melopong juga bila dengar apa yang mereka tawarkan. Yang paling menarik dan bermakna buat saya ialah hadiah sebidang lot tanah tu.

Aishah bersama hadiah kemenangan pada malam itu. Foto: ABDUL RAHMAN EMBONG.

“Sudah lama saya mahukan tanah untuk buat rumah sebab sebelum ini ada la sikit hal dalam keluarga berkaitan tanah yang mana hak saya dinafikan,” ujarnya kepada mStar Online.

Pada malam kemuncak GV4, Aishah menewaskan lima pencabar iaitu Liza Hanim, Lan, Hazami, Firman dan Tia Jinbara.

GV4 bersiaran secara langsung di Studio Pinewood, Johor Bahru pada Ahad.

Menurut penyanyi Janji Manismu itu, dia juga bersyukur apabila program GV4 berjaya mengembalikan semula kerjaya nyanyiannya yang agak sepi akhir-akhir ini.

Persembahan Aishah mendapat pujian juri. Foto: ABDUL RAHMAN EMBONG

Katanya, dia teruja apabila generasi muda yang tidak dibesarkan sewaktu zaman populariti dulu turut mengenalinya menerusi program ini.

“Dari minggu pertama saya muncul di pentas GV4, saya mula dapat pengikut baharu dalam kalangan generasi muda.

“Apabila saya ke masjid pun ada kanak-kanak yang menyapa saya, mereka kenal saya. Saya rasa terharu dan gembira dengan penerimaan ini,” katanya.

Tambahnya lagi, dia juga menghargai sokongan peminat lama yang masih bersamanya sehingga hari ini.

Juara GV4, Aishah (tengah) bersama Liza Hanim (tempat kedua) dan Lan (ketiga).

Dalam meniti populariti yang kembali diraih, Aishah mengakui tidak terlepas dari komen-komen ‘haters’ di laman sosial.

Menurut Aishah, dia tidak takut dengan individu berkenaan dan meminta supaya mereka berhadapan dengannya jika ada sesuatu yang ingin disuarakan.

Malah, dia menjadikan pengalaman lalu sebagai panduan dalam berhadapan dengan kerenah industri.

“Saya tak marah dan tak terkesan pun. Mereka ini kalau kita cabar, mulalah takut. Lepas itu tutup akaun laman sosial.

“Kalau berani, datang berdepan dengan saya. Suarakan apa yang tak puas hati. Saya tidak kisah,” ujarnya.

Comments

comments



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments