Dr M jawab Najib: Tak efisyen bayar RM100 bilion untuk 100,000 pekerjaaan

Perdana menteri berkata HSR tidak efisyen kerana kerajaan berbelanja RM60 hingga RM100 bilion hanya untuk 100,000 peluang pekerjaan.

Dr M berkata rancangan HSR tidak efisyen kerana belanja yang besar menghasilkan peluang pekerjaan yang sedikit.

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menepis projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) sebagai sangat tidak efisyen, selepas bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mempertahankan projek itu hari ini.

“Anda mahu berbelanja sebanyak RM60 bilion hingga RM100 bilion untuk wujudkan 100,000 peluang pekerjaan, ia sangat tidak efisyen,” kata perdana menteri ringkas sewaktu ditemui di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam tadi.

Terdahulu, Najib berkata unjuran dalam laporan berkaitan HSR yang pernah dilihatnya menunjukkan manfaat ekonomi sehingga RM650 bilion bagi pendapatan kasar dan 442,000 peluang pekerjaan sehingga 2069.

“Unjuran yang terkandung dalam laporan berkenaan yang pernah saya lihat menunjukkan manfaat ekonomi sehingga RM650 bilion bagi GNI sehingga 2069.

“Manakala akan wujud 110,000 peluang pekerjaan dan ia diunjurkan akan meningkat sehingga 442,000 menjelang 2069,” katanya di Facebook.

Najib semasa mempertahankan potensi HSR menggesa kerajaan bersikap telus dalam keputusan membatalkan projek itu dengan mendedahkan kajian-kajian berkaitan.

Ditanya mengenani unjuran peningkatan peluang pekerjaan menjelang 2069, Dr Mahathir berkata pentadbirannya sedang mengkaji laporan itu.

“Kita kaji perkara itu,” katanya.

Ditanya pula mengenai konsesi lebuhraya antara kerajaan dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang berakhir 31 Mei tahun ini, Dr Mahathir berkata perjanjian itu dirunding semula.

“Perjanjian itu kita runding semula,” katanya.

Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan rayanya berjanji mahu memansuhkan tol lebuhraya.

Najib pertahan HSR, gesa Dr M dedah kajian


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.


sumber

0 Response to Dr M jawab Najib: Tak efisyen bayar RM100 bilion untuk 100,000 pekerjaaan

Post a Comment