Kenapa Khairy tak beritahu saya, tanya Najib

Bekas presiden Umno itu berkata, ahli parti boleh menyuarakan pandangan berbeza melalui saluran dalaman.

Najib berkata, beliau terbuka dan akan menerima semua pendapat. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, Khairy Jamaluddin boleh menyuarakan kebimbangannya mengenai kerajaan pimpinannya tanpa perlu takut tindakan balas dikenakan terhadapnya, tetapi ketua Pemuda Umno itu tidak berbuat demikian.

Mana-mana ahli parti boleh menyuarakan rasa tidak puas hati mereka atau pandangan berbeza melalui saluran dalaman, katanya dalam satu wawancara media hari ini.

Najib berkata, beliau sentiasa mengamalkan pendekatan terbuka di mana orang bebas menyuarakan komen dan pandangan berbeza kepadanya.

“Saya agak terbuka mengenainya, cuma saya mahu ia dilakukan secara tertutup kerana sebagai anggota kerajaan, kita tidak harus menyerang satu sama lain,” katanya seperti dipetik Malay Mail hari ini.

Khairy dilaporkan bercakap kepada Channel NewsAsia pada 15 Mei lepas: “Tiada sesiapa mahu mengaku kita bermasalah. Apa yang berlaku ialah kita menjadi delusi; kita khayal dalam Kool-Aid sendiri dan hilang pedoman,” sehingga menyebabkan Barisan Nasional hilang kuasa pemerintahan pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Najib bagaimanapun berkata, Khairy bebas menemui dan memberitahunya: “Saya fikir tuan salah haluan, atau ada sedikit masalah, atau ada perkara yang tidak diatasi dengan cara betul.”

Katanya: “Saya boleh putuskan kemudian, sama ada nak terima atau tidak. Beliau tidak berbuat demikian. Maksud saya, beliau mengaku tidak berbuat begitu.”

Beliau mendakwa tidak pernah memaksa mana-mana ahli BN menerima pandangannya, sebaliknya hanya menekankan keperluan untuk mengikut pendirian parti semata-mata kerana disiplin “kerana jika anda menyerang kepimpinan secara terbuka, maka ia berlawanan dengan disiplin parti”.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.


sumber

0 Response to Kenapa Khairy tak beritahu saya, tanya Najib

Post a Comment