Remaja rancang bom pesta arak dipenjara 9 tahun

Tertuduh berumur 20 tahun itu di didakwa memberi latihan membuat bahan letupan melalui kumpulan WhatsApp 'The Rise Of Jundullah'.

KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki dipenjara 9 tahun oleh Mahkamah Tinggi hari ini selepas mengaku salah atas 4 pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas IS termasuk merancang untuk mengebom pesta arak “Better Beer Festival 2017”.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak yang membuat keputusan itu terhadap Mohd Hafizi Mat Jusoh, 20, turut memerintahkannya menjalani hukuman penjara berkenaan secara serentak bermula dari tarikh tangkap pada 10 Oktober 2017.

Dalam penghakimannya, Sofian berkata hukuman penjara lebih sesuai memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius.

“Sekiranya dia tidak ditangkap mungkin bahan berkenaan akan digunakan dan diletupkan di tempat awam,” katanya.

Mohd Hafizi dijatuhi hukuman penjara 9 tahun bagi pertuduhan pertama, 5 tahun penjara bagi pertuduhan kedua dan masing-masing 3 tahun penjara bagi pertuduhan ke-3 dan ke-4.

Mengikut pertuduhan pertama, anak bongsu daripada 9 orang adik beradik itu didakwa memberi latihan melalui kumpulan perbualan WhatsApp “The Rise Of Jundullah” dalam membuat bahan letupan serta bersedia melibatkan diri dalam perbuatan pengganas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kota Bharu, Kelantan antara 9.07 malam hingga 10.28 malam pada 23 September 2017 mengikut Subseksyen 130F(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 130F kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Bagi pertuduhan ke-2 dia didakwa hadir di sebuah kawasan tanah lapang yang diketahui terdapat satu latihan yang sedang diberikan bagi satu perbuatan pengganas, di bangunan tapak semaian benih padi, Gong Kulim, Pasir Putih, Kelantan antara 3.30 petang hingga 4 petang pada 10 Oktober 2017.

Dia didakwa di bawah perenggan 130FB (1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah subseksyen 130FB (1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ke-3, Mohd Hafizi didakwa memiliki 57 buah item yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda di dalam sebuah telefon bimbit, di Restoran K&K, Lot 2689, Jalan Tok Janggut, Kampung Kelubi, Pasir Puteh, Kelantan, pukul 4.30 petang pada 11 Oktober 2017.

Dia melakukan kesalahan di bawah perenggan 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah subseksyen 130JB(1)(a) kanun yang sama iaitu hukuman penjara tidak lebih 7 tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item tersebut.

Bagi pertuduhan ke-4, dia didakwa memaparkan 13 video dan 5 gambar berkaitan kumpulan pengganas IS, Al-Qaeda dan Jemaah Ansharut Tauhid di dalam akaun Instagram miliknya atas nama ‘al_akh_fillah’, di Restoran K&K, Lot 2689, Jalan Tok Janggut, Kampung Kelubi, Pasir Puteh, Kelantan, pukul 4.30 petang pada 11 Oktober 2017.

Dia melakukan kesalahan di bawah perenggan 130JB(1)(b) kanun Keseksaan boleh dihukum di bawah subseksyen 130JB(1)(a) kanun yang sama, memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 7 tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item tersebut.

Mohd Hafizi yang diwakili peguam Ariff Azami Hussein memohon faktor usia anak guamnya yang masih muda ketika ditangkap iaitu 19 tahun menjadi penyebab utama dia terlibat dengan kesalahan itu kerana masih belum matang dalam membuat keputusan dan tindakan.

“Anak guam saya bukanlah seorang ekstremis dan berbahaya tetapi hanyalah seorang anak muda yang bersemangat untuk melibatkan diri dengan jihad dan menegakkan agama.

“Saya percaya penglibatannya adalah kerana faktor usia yang muda dan tidak mendapat tunjuk ajar yang betul mengenai pengertian jihad yang sebenar dalam agama Islam,” katanya.

Oleh itu katanya Mohd Hafizi perlu diberi peluang untuk kembali kepada keluarga tanpa perlu dipisahkan untuk satu tempoh yang panjang, kerana anak guamnya termasuk dalam kategori yang masih boleh diubah sekiranya diberi peluang.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor yang mengendalikan pendakwaan berkata berdasarkan fakta kes yang dikemukakan dan diakui oleh tertuduh jelas menunjukkan dia membuat perancangan teliti untuk melakukan suatu perbuatan pengganas.

“Tindakan itu dapat dilihat melalui latihan yang diberikan oleh tertuduh dalam membuat bahan letupan kepada ahli kumpulan perbualan WhatsApp dan seterusnya tertuduh menghadiri di sebuah tempat untuk menguji bahan letupan itu,” katanya.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.


sumber

0 Response to Remaja rancang bom pesta arak dipenjara 9 tahun

Post a Comment