Setiap malam saya tonton Dr M sebelum tidur, kata Najib

Menurut Najib, melalui video-video di Youtube beliau dapat menilai reaksi dan serangan pihak lawan terhadap diriya.

Najib ketika berucap di hadapan ribuan penyokong BN di Hulu Terengganu.

HULU TERNGGANU: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkongsi aktiviti sebelum tidur dengan ribuan penyokong Barisan Nasional Hulu Terengganu.

Perdana menteri berkata setiap malam beliau akan menonton video Youtube untuk mendengar intipati kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap dirinya.

Menurut Najib, melalui video-video itu beliau dapat menilai reaksi dan serangan pihak lawan terhadap dirinya.

“Malam-malam, hobi saya sebelum tidur saya tengok Youtube. Ini zaman media sosial sebelum saya tidur saya kena tengok Youtube, nak tengok apa dia kata pada kita,” katanya ketika berucap pada program mesra rakyat hari ini.

Kata Najib, dalam banyak-banyak video beliau tertarik dengan satu rakaman sidang media Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, apa yang mencuit hatinya apabila Dr Mahathir berkata dia tidak pernah menahan mana-mana individu sedangkan realitinya pada zaman pemerintahan perdana menteri ke-4 itulah paling ramai menjadi tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Adalah saya tertengok satu video sidang media Dr Mahathir ini. Sebelah kanan dia Mat Sabu, dia boleh cakap dengan muka selamba saja ‘Pada zaman saya, saya tak pernah lokap sesiapa’.

“Ehh…Mat Sabu sebelah dia pernah ditahan bawah ISA. Sebelah kiri dia Wan Azizah, suami dia pun bawah ISA. Tambah lagi dengan mata lebamnya, yang jadi simbol parti dia sekarang,” katanya disambut tepukan hadirin.

Kata Najib, turut menjadi mangsa tahanan politik Dr Mahathir adalah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Dia boleh kata saya ini lebih zalim. Siapa yang saya lokap ISA? Tak ada seorang pun sebab dah tak ada ISA. Bila saya jadi perdana menteri saya mansuhkan ISA.

“Masa Ops Lalang beratus orang ditahan termasuk sahabat saya Zahid. Ketua polis pun tahu menteri dalam negeri hari ini pernah ditahan bawah ISA,” katanya.

Najib boleh sahaja membuka segala cerita Dr Mahathir namun memilih untuk tidak berbuat demikian.

“Kalau nak saya cerita pengalaman Zahid dalam tahanan ISA saya boleh cerita…nak tahu pemikiran Dr Mahathir boleh cerita.

“Tapi nanti orang kata saya burukkan pemimpin yang tua pula. Tak manis, orang dah 93 tahun. (Presiden PAS) Abdul Hadi Awang kata dah 93 tahun baik kita bagi dia rehat. Kita kesian pada dia sebab itu kita suruh dia rehat,” tambahnya.

Najib turut berkongsi rakaman Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Ramasamy sebagai berkata pihaknya tidak melupakan perbuatan Dr Mahathir di masa silam.

“Ramasamy dia kata kami tak lupakan apa yang Dr Mahathir buat tapi kami pilih dia untuk meraih undi orang-orang Melayu sahaja

“Maknanya apa? Maknanya Dr Mahathir diperkudakan. Yang jadi mangsa orang-orang Melayu nanti. Dia jadi alat kepada parti DAP,” katanya.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.


sumber

0 Response to Setiap malam saya tonton Dr M sebelum tidur, kata Najib

Post a Comment