Raja Kamarul sedia bantu PAS pulih pembangunan Terengganu

Kamarul berkata, tawaran itu khusus dari aspek penyelesaian projek mega di bawah kerajaan BN, termasuklah projek Taman Ilmu, Pusat Bebas Cukai Kenyir dan stadium yang terbengkalai.

Raja Kamarul (kanan) dan Samsuri Mokhtar (kiri) di pejabat kerajaan Terengganu seminggu selepas kerajaan negeri dibentuk. (Foto Raja Kamarul)

PETALING JAYA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah menawarkan dirinya untuk membantu kerajaan negeri pimpinan PAS membina semula Terengganu yang selama ini terkenal dengan gelaran “darul runtuh”.

Kamarul berkata, tawaran itu khusus dari aspek penyelesaian projek mega di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) termasuklah projek Taman Ilmu, Pusat Bebas Cukai Kenyir dan stadium yang terbengkalai.

Tawaran itu dibuat seiring dengan kepakaran beliau sebagai arkitek berpengalaman.

“Selepas seminggu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik menteri besar Terengganu, saya membuat kunjung hormat. Dalam pertemuan itu saya mempelawa memberi cadangan sebagai seorang arkitek untuk membina semula ‘projek sakit’ di Terengganu yang sebelum ini pernah gelar Terengganu ‘Darul Runtuh’. Ini demi kepentingan rakyat Terengganu.

“Kami berbincang isu kerosakan teruk ke atas projek mega Terengganu peninggalan Umno seperti stadium di Gong Badak, Pusat Bebas Cukai Kenyir dan Taman Ilmu. Kami bersetuju sesuatu mesti dilakukan dalam waktu terdekat untuk membaiki projek tersebut.

“Saya sebut kepada menteri besar saya seorang arkitek dan beliau seorang jurutera, maknanya saya sedia bantu kerajaan negeri seiring dengan kepakaran sebagai arkitek,” katanya kepada FMT.

Pada pilihan raya lepas, PAS berjaya merampas kembali Terengganu selepas kali terakhir menguasai negeri itu pada 1990.

Dalam perkembangan sama, Kamarul berkata PH sebagai pembangkang di Terengganu berharap kerajaan negeri pimpinan PAS boleh berkomunikasi dan bekerjasama baik untuk kepentingan rakyat.

“PRU telah berlalu, sekarang ini kita kena bekerja tanpa mengira kepentingan politik untuk rakyat. Sebab rakyat dah penat dengan politik, rakyat nak tengok bagaimana kita nak bangunkan semula Malaysia, termasuk bina Terengganu semula,” katanya.

Kamarul berkata beliau sedia mengambil bahagian jika kerajaan Terengganu membentuk jawatankuasa teknikal khusus untuk memulihkan pembangunan negeri.

“Saya sedia mengambil bahagian dan saya tidak ada masalah untuk sertai sebab ia untuk kebaikan rakyat Terengganu,” katanya.

Perbelanjaan negeri melebihi pendapatan

Ditanya adakah kerajaan PAS Terengganu mampu mengurus negeri dengan hanya mengantung kepada pendapatan hasil negeri, Kamarul berkata, ia tidak mampu.

“Jika bersendirian tanpa bantuan pusat, kerajaan negeri akan hadapi masalah. Perbelanjaan negeri Terengganu setiap tahun purata lebih kurang RM2 bilion, apakah yang dilakukan kerajaan lepas, walhal hasil negeri Terengganu setahun RM300 juta sahaja. Jadi mana nak cari RM1.7 bilion lagi untuk tampung kos itu?”

“Ini jelas menunjukkan pemerintah sebelum ini (BN) berbelanja jauh di luar kemampuan negeri,” katanya.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.


sumber

0 Response to Raja Kamarul sedia bantu PAS pulih pembangunan Terengganu

Post a Comment