Wanita Nyaris Diperkosa Dalam Tandas Restoran McDonalds Di JB

JOHOR BAHRU - Kepantasan dan keberanian seorang wanita berjaya menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa rogol dalam tandas sebuah restoran makanan segera di Johor Bahru minggu lalu.

Ketika kejadian jam 6.10 pagi Jumaat lalu itu, mangsa bersama rakannya ke tandas sebuah restoran makanan segera di Taman Mount Austin.

Beliau kemudiannya membetulkan rambut di hadapan sinki luar tandas itu berseorangan, sebelum didatangi seorang lelaki yang tiba-tiba menggunakan tangannya untuk menutup mulut mangsa dan cuba mengheretnya ke dalam tandas OKU.


Menurut laporan China Press, suspek kemudiannya memukul kepala wanita itu dan menghentak kepalanya ke dinding dalam cubaan untuk melemahkan mangsa.

Wanita itu sempat melarikan diri, tetapi lebam di bahagian muka dan badan, manakala suspek pula berjaya melarikan diri dengan menyamar sebagai pekerja restoran makanan segera itu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Sulaiman Salleh yang dihubungi akhbar itu mengesahkan telah menerima laporan berhubung serangan itu, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Seorang pengguna Facebook yang menggunakan akaun DavidLim memuat naik gambar dan kejadian itu ke laman media sosial berkenaan bagi memberi amaran kepada orang ramai.

Menurut catatan Facebook itu, suspek dikatakan adalah seorang lelaki berbangsa Melayu dan berbadan sasa.

Selepas diheret ke dalam tandas OKU, mangsa menerusi celah pintu ternampak ada orang lalu dan segera menjerit.

Rakan mangsa yang terdengar jeritan itu segera pergi ke tandas untuk memeriksa keadaan, manakala suspek pula sempat mengambil beg tangan mangsa dan menyamar sebagai pekerja restoran untuk keluar dari tandas berkenaan.

Menurut catatan dalam Facebook itu lagi, rakan mangsa segera merampas beg tangan wanita itu sementara suspek bertindak meninggalkan tandas berkenaan dengan tenang.

Rakan mangsa kemudiannya pergi memeriksa keadaan mangsa dan mendapati baju wanita terbabit sudah kotor dengan dahinya berdarah dan rambutnya juga kusut-masai.

Catatan dalam Facebook itu turut menyatakan ada pihak yang mendakwa suspek adalah pekerja restoran makanan segera terbabit dan bercuti pada hari kejadian.

Malah, pengurus restoran itu juga didakwa berada di tempat kejadian, tetapi tidak mengambil sebarang tindakan.

Rakan lelaki mangsa yang cuba menjejaki dan merakam gambar suspek bagaimanapun gagal, kerana suspek segera meninggalkan tempat kejadian dengan menaiki kereta Perodua Kenari berwarna emas.

Menurut catatan dalam laman media sosial itu, polis tiba di tempat kejadian 30 minit kemudian dan meminta mangsa melakukan pemeriksaan di hospital.

Hasil pemeriksaan mendapati wanita itu cedera di kepala dan bahunya serta terdapat pelbagai kesan lebam di badannya.

Difahamkan, polis sudah mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari restoran makanan segera itu untuk disiasat.

Rujukan; Freemalaysiatoday

via sumber

Post a Comment

0 Comments