Kawalan perairan negara diperketat - TPM

Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob (tengah) bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (empat dari kiri) diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (empat dari kanan) bergambar bersama dihadapan masjid terapung selepas menunaikan solat jumaat pada Majlis Perasmian Masjid Terapung Salmah Khamis Durian Daun, Masjid Tanah. - Foto RAsul Azli Samad

ALOR GAJAH: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil langkah siap siaga dan memperketatkan kawalan di perairan negara, khususnya Sabah susulan operasi tentera Filipina di wilayah selatan Mindanao.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau sudah berbincang dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, pelbagai agensi dalam Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din bagi langkah itu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Filipina, terutama pasukan tentera dan polis mereka yang menterjemahkan pelaksanaan semua operasi melalui perjanjian tiga pihak antara Filipina, Indonesia dan Malaysia.

"Kita (kerajaan) mengesahkan dua rakyat Malaysia terbunuh. Saya sudah berbincang dengan Ketua Polis Negara bagi meneliti maklumat risikan sepenuhnya, sebelum kenyataan penuh dikeluarkan oleh Bukit Aman.

"Tentunya, apabila undang-undang tentera ini dikuatkuasakan, kita khuatir mereka yang disyaki atau berada dalam senarai dikehendaki akan terlepas dan cuba menyeludup masuk ke negara ini.

"Kita mahu gunakan segala aset yang ada untuk memperketatkan kawalan keselamatan, termasuk maklumat risikan (susulan kejadian yang berlaku)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Masjid Salmah Khamis, Empang Batu, Durian Daun, Masjid Tanah yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob, di sini, hari ini.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments