CCCC rancang jadikan Malaysia pusat serantau

BEIJING: China Communications Construction Group Ltd (CCCC), peneraju penyedia perkhidmatan infrastruktur terbesar China dan di dunia merancang menjadikan Malaysia sebagai pusat pengembangan perniagaannya di Asia Tenggara.

Naib Presiden CCCC International, Peng Dapeng, berkata Malaysia adalah destinasi pertumbuhan penting bagi syarikat yang tersenarai dalam Fortune 500 Global itu di rantau ini.

Beliau berkata, ketika ini, syarikat pembinaan antarabangsa nombor satu China itu mempunyai jumlah kontrak bernilai lebih AS$16 bilion (RM66.94 bilion) di Malaysia.

Katanya, antara projek yang sedang dan bakal dilaksanakan syarikat itu di Malaysia termasuk pembinaan jambatan dan jalan raya, pelabuhan, Transit Aliran Massa (MRT) dan kereta api berkelajuan tinggi.

"Malaysia adalah pasaran penting bagi kami. Jika anda melihat dari jumlah kontrak yang diperoleh di Malaysia, ia adalah lebih tinggi berbanding negara lain.

"Kami juga percaya jumlah kontrak kami di negara ini (Malaysia) akan terus meningkat pada masa depan," katanya ketika ditemui pada lawatan delegasi media Asia Tenggara ke ibu pejabat CCCC di sini, Jumaat.

Lawatan itu adalah sempena program Lawat China 2017 yang dianjurkan Kementerian Hubungan Luar China dan Pusat Kerjasama Antarabangsa (ICC), Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Kebangsaan China (NDRC), membabitkan 10 wartawan dari Filipina, Thailand, Malaysia dan Indonesia bermula 21 hingga 30 September 2017.

Mengenai perkembangan terkini projek pembinaan Laluan Rel Keretapi Pantai Timur (ECRL), Dapeng berkata, CCCC, kontraktor kepada ECRL sedang menunggu kelulusan daripada pihak berwajib untuk memulakan pembinaan projek itu.

Beliau berkata, kerja pembinaan pertama bagi projek mega yang menelan belanja kira-kira RM55 bilion itu adalah pembinaan terowong di Genting Highlands.

Katanya, dari segi dana, ia sudah tersedia dan pihaknya juga sudah menghantar peralatan yang diperlukan untuk pembinaan laluan rel kereta api yang akan memberi kesan berganda kepada pertumbuhan ekonomi di Pahang, Terengganu dan Kelantan apabila ia siap kelak.

"Tempoh pembinaan dijangka mengambil masa tujuh tahun. Kami jangka kerja pembinaan akan bermula hujung tahun ini," katanya. 

Menyentuh mengenai operasi luar negara CCCC, Dapeng berkata, dengan pengalaman lebih 60 tahun di pasaran antarabangsa, syarikat itu membina kemampuannya yang utuh di peringkat global dengan perniagaan luar negara menyumbang 30 peratus kepada pendapatannya.

Beliau berkata, pihaknya komited untuk menghubungkan dunia dengan menyediakan perkhidmatan infrastruktur yang unggul.

INFO

* CCCC beroperasi di lebih 150 negara

* Mempunyai lebih 120,000 pekerja

* Mempunyai lebih 60 anak syarikat



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments