ADAKAH dunia memerlukan satu lagi pembunuhan beramai-ramai atau lebih tepat jenayah genosid baru hendak membuka mata dan bertindak terhadap apa yang berlaku pada etnik Rohingya di Myanmar?
Atau adakah hendak tunggu hingga tiada seorang pun umat Rohingya tinggal di wilayah Rakhine, utara Myanmar, baru hendak melakukan sesuatu?
Sebenarnya dunia tahu apa yang berlaku. Ini dapat dibuktikan apabila baru-baru ini pelbagai media antarabangsa melaporkan keganasan tentera Myanmar terhadap etnik Islam Rohingya di Rakhine. Antaranya, serangan kali ini adalah antara yang terburuk dalam sejarah negara itu dengan hampir 90,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.
Bahkan ada di antara pelarian ini terpaksa melarikan diri melalui jalan darat dan terperangkap di kawasan pergunungan. Lebih menyedihkan ialah pelarian ini tidak ada bekalan makanan dan ramai antaranya yang sakit dan kemudian mati begitu sahaja.
Malaysia, di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak sudah lama melaungkan isu ini. Sejak beberapa tahun lalu pelbagai usaha dilakukan Perdana Menteri bagi membantu pelarian Rohingya yang semakin hari semakin bertambah jumlahnya. Contohnya, pada tahun ini Kuala Lumpur menjadi tuan rumah pertemuan 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang sebulat suara menyatakan sokongan kepada etnik Rohingya dan melaungkan amaran kepada Kerajaan Myanmar.
Suara OIC yang mewakili negara dari Asia, Afrika dan Eropah sebenarnya boleh diibaratkan sebagai satu suara harapan agar masyarakat antarabangsa memberi perhatian yang lebih serius pada masalah ini. Mungkin sudah sampai masanya juga masyarakat dunia melabelkan rejim tentera Myanmar sebagai pengganas.
Tunggu komitmen jitu antarabangsa
Najib antara pemimpin awal yang begitu berani dan lantang dalam menempelak Kerajaan Myanmar dan mengambil peranan penting dalam agenda memperjuangkan nasib yang menimpa umat Rohingya. Pastinya ramai di antara kita masih ingat perhimpunan Solidariti Bersama Rohingya di Tasik Titiwangsa 9 Disember 2016 lalu. Sejak itu isu Rohingya terus diperjuangkan dan kini sudah sampai masanya seluruh dunia turut sama memberikan komitmen yang lebih jitu.
Dari segi bantuan, Malaysia menyumbang RM10 juta bantuan kemanusiaan serta pembangunan kepada etnik Rohingya. Bukan itu sahaja, bahkan Malaysia mengambil dan melindungi pelarian Rohingya yang ramai antara mereka turut diberikan pekerjaan.
Seperti dinyatakan, dunia perlu beri komitmen lebih serius dalam menangani isu ini. Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berikrar menyokong usaha menamatkan keganasan dan akan membangkitkan isu ini pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dijadual berlangsung pada 19 September ini di New York.
Kerajaan Maldives pula contohnya memutuskan segala hubungan ekonomi dengan Myanmar sehingga isu ini diselesaikan. Bantahan masyarakat setempat yang mengecam Kerajaan Myanmar pula berlaku di pelbagai negara seperti Pakistan, Indonesia, India dan Russia. Ada laporan menyatakan ramai juga ditahan apabila cuba merusuh dan menyatakan bantahan mereka di Kedutaan Myanmar negara masing masing.
Tiada komen daripada Aung San Suu Kyi
Sebenarnya krisis ini semakin serius apabila pemenang Hadiah Novel Keamanan, Aung San Suu Kyi tidak beri sebarang komen atau ambil sebarang tindakan untuk tangani penindasan terhadap Rohingya. Pemimpin yang begitu hebat dengan perjuangannya menegakkan demokrasi terus dikritik oleh masyarakat antarabangsa sehinggakan ada suara mahukan penghormatan yang diberikannya pada 1991 dahulu, ditarik balik.
Apa yang lebih penting ialah tindakan selanjutnya dari masyarakat dunia. Umat Rohingya memerlukan bantuan kita semua, tidak kira bantuan dari segi kemanusiaan mahupun kewangan. Inilah masanya untuk dunia memberikan kepada etnik ini, walaupun setitik harapan, agar umat Rohingya yakin yang mereka masih mempunyai masa depan yang lebih baik.
Penulis :Ahli Jawatankuasa Teraju Majlis Perundingan Melayu Malaysia
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments