LONDON: Pedro Obiang dan Andre Ayew masing-masing meledak gol untuk memberikan pengurus West Ham, Slaven Bilic hadiah ulang tahun ke-49 sempurna ketika menundukkan Huddersfield Town 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.
Selepas Obiang membuka tirai jaringan pada minit ke-72, Bilic jelas lega dengan menumbuk ke udara apabila bintang Ghana, Ayew menyumbat gol kedua untuk memberikan West Ham mata pertama musim ini.
Kekalahan kepada Huddersfield memungkinkan pengurus penuh berkarisma dari Croatia itu menjadi mangsa kedua disingkirkan di pentas EPL musim ini selepas rakan sejawatnya di Crystal Palace, Frank de Boer dipecat semalam.
"Kami bermula dengan tiga perlawanan di tempat lawan (West Ham tidak boleh bermain di Stadium London susulan Kejuaraan Olahraga Dunia) dan mengalami tiga kekalahan jadi ini adalah aksi yang perlu menang," kata Bilic kepada Sky Sports.
"Saya merasa tekanan bagi keseluruhan musim ketika ini. Ia mungkin tidak logik bagi saya untuk berada dalam tekanan selepas tiga perlawanan namun ia adalah bola sepak moden.
"Hari lahir saya adalah hari ini dan ini adalah hebat, hadiah yang hebat bagi saya."
Bagi pendatang baharu Huddersfield, ia adalah kekalahan pertama di pentas EPL selain jaringan pertama yang dilepaskan selepas bersaing di pentas elit berkenaan.
Dalam perlawanan yang dianggap penting, West Ham begitupun tampak tumpul dengan penyerang Andy Carroll yang kembali mengemudi jentera serangan selepas kecederaan paha gagal meletakkan pasukan itu di depan sekali pun memperoleh dua peluang pada babak pertama.
Cubaan penyerang Mexico, Javier Hernandez kemudian dinafikan palang ketika penjaga gol Huddersfield Jonas Loessl melakukan aksi menyelamat hebat menafikan tandukan James Collins pada minit ke-22.
Begitupun 18 minit sebelum permainan berakhir, rembatan Obiang yang jelas jauh tersasar terbias pemain lawan untuk menewaskan Loessl sebelum Ayew yang masih sebagai pemain gantian meledak gol kedua lima minit kemudian. - AFP
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments