Jeremy sedih nasib V Shem-Wee Kiong

KUALA LUMPUR: Jurulatih beregu lelaki negara, Jeremy Gan mengakui sedih dengan apa yang sedang berlaku terhadap anak didiknya, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, sedangkan beliau adalah watak penting di belakang kedua-dua pemain berkenaan terutama ketika mereka meraih perak Sukan Olimpik Rio, tahun lalu.

Menurutnya, apa yang penting buat kedua-dua pemain itu kini ialah melalui perkara ini dengan menggunakan naluri hati mereka sehingga keputusan dibuat oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

"Mereka sendiri mengakui kekalahan (awal di Kejohanan Dunia Glasgow) disebabkan tidak beraksi dengan baik. Mereka akui sendiri perkara ini, dan saya puji semangat mereka kerana masih lagi boleh berbincang," kata Jeremy.

Jelasnya, paling penting buat V Shem-Wee Kiong kini ialah tidak membawa haluan sendiri dan sedia mengadakan perbincangan secara mendalam.

V Shem-Wee Kiong bukan saja meraih perak di Olimpik tahun lalu, malah berjaya menduduki ranking nombor satu dunia serta muncul juara Siri Super Akhir di Dubai.

Bagaimanapun, kedua-duanya gagal mengekalkan prestasi konsisten tahun ini sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan peminat badminton negara yang menggesa BAM segera mengambil tindakan sewajarnya.

Hala tuju V Shem-Wee Kiong dijangka diketahui Isnin depan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM yang akan dipengerusikan presiden badan induk itu sendiri, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Menurut sumber, mesyuarat yang akan diadakan pada jam 2 petang itu akan merungkai segala persoalan, termasuk sama ada V Shem-Wee Kiong dipisahkan atau sebaliknya.

"Perbincangan mengenai perkara ini sebenarnya sudah dibincangkan sejak mesyuarat 'post-mortem' 6 September lalu, namun semuanya akan terjawab pada 18 September ini," kata sumber itu.

Penjelasan itu sekali gus menyangkal dakwaan awal yang dibuat Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen kepada sebuah akhbar bahasa Inggeris (bukan Kumpulan NSTP) bahawa keputusan mengenai V Shem-Wee Kiong sudah dibuat dan mereka akan dipisahkan.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments