'Kekalkan Kim Swee'

SHAH ALAM: Adam Nor Azlin memohon supaya khidmat jurulatih skuad Bawah 22 Tahun negara (B-22), Datuk Ong Kim Swee dikekalkan dalam usaha memantapkan pasukan yang bakal beraksi di Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China, 9-27 Januari depan.

Menurut tonggak pertahanan kental itu, sentuhan ajaib Kim Swee yang berjaya membentuk skuad B-22 muncul juara Kumpulan H di pusingan kelayakan kejohanan AFC serta memenangi pingat perak Sukan SEA 2017 baru-baru ini, sudah cukup membuktikan betapa beliau sememangnya layak untuk meneruskan tugasnya.

Bagaimanapun, tegas pemain Selangor itu, keputusan sama ada mengekalkan khidmat Kim Swee yang turut diburu beberapa kelab luar negara terletak di bawah bidang kuasa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Bayangkan waktu kami mula-mula nak bermain di dua kejohanan itu (AFC dan Sukan SEA), persiapan kami cukup singkat berbanding negara lain yang dikhabarkan sudah bersama sebagai satu pasukan.

"Tetapi kami berjaya juga menghasilkan keputusan terbaik, malah turut layak secara merit ke Piala AFC tahun depan buat pertama kalinya.

"Kalau tanya saya, secara peribadi jika semuanya dikekalkan dari atas (jurulatih) hingga bawah (pemain), saya percaya kami akan tampil lebih mantap di China nanti.

"Tunjuk ajar beliau (Kim Swee) nyata amat serasi dengan kami semua. Sekiranya FAM kekalkan khidmatnya, saya yakin kami tidak tampil sebagai pasukan pelengkap jadual, sebaliknya hadir untuk membuat kejutan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad Liga Super Selangor di Padang SUK, di sini.

Laporan sebelum ini menyebut kedudukan Kim Swee masih tidak menentu bersama skuad B-22 negara apabila kontraknya bakal berakhir Disember ini.

Bekas jurulatih kebangsaan berusia 46 tahun itu dikhabarkan sedang dirisik beberapa kelab di Jakarta, selain Mitra Kukar FC yang berpangkalan di Timur Kalimantan.

'Saham' Kim Swee meningkat di negara jiran itu susulan kejayaannya membawa pasukan negara layak secara merit ke pusingan akhir Kejohanan AFC dan meraih perak dalam temasya Sukan SEA di Kuala Lumpur bulan lalu.

"Saya tak mahu masuk campur soal kontrak beliau. Namun beliau sudah membuktikan kredibilitinya sebagai jurulatih yang bagus. Saya kira baik kekalkan saja daripada melepaskannya," katanya.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments