Korea Utara label Trump 'orang tua gila'

SEOUL: Kerajaan Korea Utara, hari ini mendakwa Presiden Donald Trump sebagai 'orang tua gila' kerana mahu mengeksploitasi isu kematian Otto Warmbier sebagai satu kes penderaan ketika ditahan di Pyongyang.

Kementerian Luar negara itu dalam satu kenyataan menuduh Amerika Syarikat mencari jalan supaya komuniti dunia mengecam negara rejim itu.

"Trump dan sekutu yang mengapi-apikan kempen anti-Korea Utara sekali lagi mengeksploitasikan kematian Otto Warmbier," katanya.

Warga Amerika berusia 22 tahun itu berkunjung ke Korea Utara sebagai pelancong pada 2016 sebelum ditahan serta dipenjarakan oleh rejim berkenaan.

Dia meninggal dunia Jun lalu, iaitu beberapa hari selepas kerajaan Pyongyang menghantarnya pulang dalam keadaan koma selepas dipenjarakan lebih setahun.

Dalam kenyataan, Korea Utara menuduh satu pertubuhan anti-Pyongyang di AS menghantar Warmbier ke negara itu atas 'misi jenayah'. - AFP



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments