Tiga dianugerah gelaran Tun

Image may contain: 10 people, people smiling, text

PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif serta dua bekas menteri Kabinet, Datuk Seri S Samy Vellu dan Tan Sri Michael Chen Wing Sum, dianugerahi darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM), anugerah tertinggi negara yang membawa gelaran Tun.

Mereka mendahului senarai 1,518 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2017 bersempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, hari ini.

Md Raus, 66, dilantik sebagai Ketua Hakim Negara selama tiga tahun berkuat kuasa pada 4 Ogos lalu, menggantikan Tun Arifin Zakaria yang bersara.

Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai Presiden Mahkamah Rayuan sehingga 3 Ogos 2017.

Samy Vellu, 81, adalah Duta Khas ke India dan Asia Selatan dalam bidang infrastruktur berkuat kuasa 1 Januari 2011.

Beliau adalah antara pemimpin paling lama memegang jawatan dalam Kabinet bermula sebagai Menteri Kerja Raya dan Utiliti pada tahun 1979 sehingga 2008.

Michael Chen, 85, adalah bekas Timbalan Presiden MCA dan pernah dilantik Yang Dipertua Dewan Negara pada 2000 hingga 2003.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru dan sebagai ahli Dewan Negara bermula 1997 hingga 2003.

Tiga individu menerima anugerah Darjah Kebesaran Panglima Mangku Negara (PMN) membawa gelaran Tan Sri, iaitu Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun.

48 dianugerah Tan Sri

Seramai 48 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang turut membawa gelaran Tan Sri termasuk Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Datuk Seri Ahmad Zaki Ansore Mohd Yusof; Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Wira Aziah Ali; Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Zainal Rahim Seman.

Turut menerima PSM ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin; Tengku Temenggong Kelantan, Datuk Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad; Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad.

Penerima PSM yang lain termasuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri S Vigneswaran; Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Muhammad Ibrahim; Panglima Tentera Darat, Datuk Seri Zulkiple Kassim dan Panglima Tentera Udara, Datuk Seri Affendi Buang.

51 terima gelaran Datuk

Seramai 51 individu menerima Darjah Kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk dan lapan individu menerima Darjah Kebesaran Panglima Setia Di Raja yang juga membawa gelaran Datuk.

Seramai 26 individu menerima Darjah Kebesaran Johan Mangku Negara (JMN), 86 individu menerima Darjah Kebesaran Johan Setia Mahkota (JSM), 250 menerima Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN) dan 11 menerima Bintang Kesatria Setia Di Raja (KSD).

Seramai 412 individu dianugerahkan Bintang Ahli Mangku Negara (AMN), 581 individu menerima Pingat Pangkuan Negara (PPN), 37 individu menerima Bintang Setia Di Raja (BSD) dan dua individu menerima anugerah Panglima Gagah Berani (PGB).

Comments

comments



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments