Bajet 2018 suntik minat membaca

KUALA LUMPUR: Kepentingan pembangunan modal insan dengan menanam minat terhadap bahan ilmiah tidak dipinggirkan kerajaan menerusi pengumuman Bajet 2018, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Mohd Khair Ngadiron, berkata ia diterjemahkan menerusi peruntukan baucar buku bernilai RM250 untuk 1.2 juta pelajar di institusi pendidikan tinggi (IPT) dan tingkatan enam.

Katanya, keputusan untuk meneruskan kelangsungan pemberian baucar buku, sejak dilaksanakan 2012 lalu itu membuktikan ketetapan dan kesungguhan kerajaan dalam menyuntik minat membaca dalam kalangan generasi muda.

"Ia ternyata meningkatkan keghairahan pelajar untuk membeli buku yang diperlukan sebagai bahan bacaan tambahan atau rujukan pendidikan.

"Bagaimanapun, mekanisme pemberian dan pelaksanaan baucar buku perlu dilaksanakan dengan teliti supaya ia tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak," katanya dalam kenyataan, semalam.

Mohd Khair berkata, peruntukan baucar itu sewajarnya dikhaskan untuk pembelian buku, bukan barangan lain seperti perkakas komputer atau peranti telefon pintar.

Sehubungan itu, katanya, pemantauan khusus terhadap pemberian baucar buku perlu dilaksanakan bagi menangani sebarang ketirisan.

"Baucar buku ini akan terus menghidupkan industri penghasilan buku tempatan dan merangsang semangat pengkaryaan dalam kalangan penulis di Malaysia," katanya.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments