Identiti pemandu treler dikenal pasti

NILAI: Polis mengenal pasti identiti pemandu treler yang dipercayai melarikan diri selepas kenderaannya terbabit dalam kemalangan mengorbankan suami isteri di Kilometer 270.3 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin, berkata lelaki terbabit menghilangkan diri selepas kejadian berkenaan dan sehingga kini belum tampil membuat laporan polis mengenai kemalangan yang berlaku.

"Polis menerima maklumat pemandu treler tanpa muatan itu melarikan diri selepas kejadian. Usaha mengesannya sedang dijalankan. Kami meminta dia datang ke Balai Polis Nilai untuk membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 5.30 petang berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat Seremban di sini, Lau Lian Huat, 62, dan isteri Lim Ah Gim, 60, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan beberapa bahagian badan.

Zaldino berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila treler tanpa muatan terbabit yang menghala ke utara hilang kawalan sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan mangsa.

Sementara itu, Zaldino berkata, polis meminta P Kanes, 29, beralamat terakhir di Jalan Tembusu, Bukit Rotan, Selangor, tampil bagi membantu siasatan kes kemalangan yang sama.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Kanes supaya menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Perundangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Asisten Superintendan Mohammad Nasrun Ab Rahman di talian 019-3468170 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Syafiq Azmy (014-5082450) atau Balai Polis Nilai (06-7991222).



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments