Kane, Salah jadi penentu di Wembley?

KOLUM APA KATA EPL

Pertengahan minggu ini, Liverpool dan Tottenham Hotspur membuktikan betapa mereka bukanlah kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang harus dipandang sebelah mata di peringkat saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Spurs yang dibimbing Mauricio Pochettino dan diterajui kapten England, Harry Kane mengikat juara Eropah, Real Madrid yang turut diperkuat pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo, 1-1 di laman keramat lawannya itu - Santiago Bernabeu.

The Reds bimbingan Jurgen Klopp pula lebih menggerunkan apabila `lepas geram' membelasah juara liga 14 kali negara Slovenia, NK Maribor, 7-0 di gelanggang lawannya itu.

Pencapaian Spurs itu sekali gus meletakkan ia di landasan tepat mara ke pusingan seterusnya selain tidak pernah kalah selepas tiga aksi. Begitu juga Liverpool. Mereka harus tiada masalah mara selepas ini.

Menariknya, minggu ini secara kebetulan kedua-dua pasukan berkenaan dijadualkan berentap dalam EPL sekali gus jadi aksi tumpuan. Melihat kepada prestasi semasa, penulis percaya pertembungan di Wembley ini esok bakal `meletop'.

Kane yang meledak enam gol dalam saingan EPL sudah pasti menjadi tumpuan untuk Spurs selain Dele Alli, Christian Eriksen dan Fernando Llorente bagi mengecewakan anak buah Klopp.

Di pihak Liverpool, penyerang sensasi mereka, Mohamed Salah yang meledak dua gol di Maribor, bersama Roberto Firmino dan Philippe Coutinho pula harus menjadi igauan ngeri Pochettino nanti.

Jika melihat rekod sembilan pertemuan terakhir, jelas ia menyebelahi The Reds. Spurs tidak pernah menang ke atas seterunya itu, apabila kalah enam kali dan tiga seri. Pada aksi terakhir di Anfield, The Reds menang 2-0.

Pun begitu, ketika ini Spurs berada di tangga ketiga liga dengan himpunan 17 mata, ketinggalan lima mata di belakang pendahulu, Manchester City. Pada aksi terakhir minggu lalu, mereka menewaskan Bournemouth 1-0.

The Reds pula di tangga kelapan, empat mata ketinggalan di belakang seterunya itu manakala sembilan mata di belakang City. Minggu lalu, mereka terikat 0-0 dengan musuh tradisi, Manchester United di Anfield.

Melihat kepada prestasi semasa di Eropah dan liga, penulis percaya penyokong tegar kedua-dua pasukan selain peminat EPL sendiri, sudah pasti tidak akan melepaskan untuk menyaksikan perlawanan ini.

Bagaimana ramalan penulis? Saya jangkakan Liverpool akan menang.

Sementara itu, dalam aksi lain, City dijangka tiada masalah mengenepikan cabaran Burnley di Etihad. Biarpun lawannya itu sudah mengejutkan Chelsea sebelum ini, penulis percaya Pep Guardiola tetap ada ramuan mengutip mata penuh.

United yang mengatasi Benfica 1-0 pada aksi Liga Juara-Juara juga dijangka tiada masalah menjinakkan Huddersfield untuk memastikan tidak ditinggalkan jauh oleh City.

Pun begitu, Chelsea harus berwaspada apabila menyambut kunjungan Watford kerana pelawat itu berjaya mengejutkan Arsenal, 2-1 minggu lalu. Selamat menonton.

Ramalan Minggu ke-9

West Ham 2 Brighton 2

Chelsea 3 Watford 1

Man City 3 Burnley FC 1

Swansea City 1 Leicester City 1

Huddersfield 1 Man United 3

Newcastle 2 Crystal Palace 1

Stoke City 1 Bournemouth 1

Southampton 1 West Brom 1

Everton 2 Arsenal 1

Tottenham 1 Liverpool 2

* Penulis - Amirullah Andi Nur adalah Penolong Pengarang Sukan BH



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments