Kuantan Rangers FC tidak mahu lagi kecewa

KUANTAN: Kuantan Rangers FC yang gagal layak ke Liga Futsal Kebangsaan 2017 berazam memadam episod hitam itu dengan melakukan beberapa pembaharuan bagi memperkuatkan pasukan.

Antaranya mengambil dua pemain kebangsaan yang membantu Malaysia memenangi pingat Perak pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) iaitu Yazid Kamaruzuan dan Akmarulnizam Idris, selain dua pemain kebangsaan bawah 20 tahun, Harith Naim Mohd Nasir serta Iskandar Harun.

Selain itu, pasukan dimiliki Tengku Arif Temenggong, Tengku Fahd Muadzam Shah Sultan Ahmad Shah turut 'mengimport' pemain futsal terkemuka dunia, Rico Zulkarnain selama dua bulan bagi membantu pemain muda dalam menerapkan permainan berkualiti serta positif berdasarkan pengalaman luas dimilikinya.

Pengendalinya, Mohamad Faizul Abdul Gaffar, berkata pasukannya kini giat membuat persiapan bagi menghadapi kelayakan Liga Futsal Kebangsaan 2018 dijangka penghujung tahun ini.

"Kita mengambil pemain berpengalaman dari pasukan kebangsaan untuk mengimbangi kekuatan pasukan yang majoritinya pemain muda dan sedang membuat pemilihan sebelum memuktamadkan senarai akhir pemain.

"Setakat ini semua berjalan lancar dan kita sedang mencari pasukan untuk mengadakan perlawanan persahabatan sebagai sebahagian daripada persediaan," katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan menentang pasukan fustal kebangsaan di Kompleks Sukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.

Pada perlawanan itu, skuad futsal kebangsaan kendalian Chiew Chun Yong menang 7-0 ke atas Kuantan Rangers FC.

Mohammad Faizul berkata, pihaknya meletakkan harapan tinggi supaya cubaan kedua pasukannya dapat membuahkan hasil dengan melayakkan diri ke Liga Futsal Kebangsaan tahun depan.

"Wajib untuk kita layak selepas dua kali mencuba, tiada lagi alasan kita melakukan persediaan lewat kerana kita sudah membuat persiapan hampir satu tahun.

"Kita juga sudah menyertai beberapa kejohanan termasuk Liga Futsal Brunei pada Ogos lalu yang mana kita muncul juara.," katanya.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments