Lelaki terjatuh ketika menjala ditemui lemas

TELUK INTAN: Seorang lelaki yang terjatuh ketika menjala ikan di Sungai Batang Padang, Tanjung Keramat, Langkap, dekat sini malam tadi, ditemui  lemas di sini pagi ini.

Mayat Samsudin Md Sarmuji, 43 ditemui kira-kira 15 meter dari lokasi mangsa dipercayai jatuh, pada jam 9.55 pagi. 

Difahamkan, mangsa terjatuh ke dalam sungai berkenaan ketika menjala ikan bersama lima ahli keluarga lain. Mangsa dikatakan cuba meleraikan jala yang tersangkut di dalam sungai sebelum terjatuh dan dihanyutkan air sungai yang deras. 

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 7.37 malam.

Katanya, sebaik tiba keadaan cuaca gelap dan anggota menjalankan operasi pencarian di permukaan sungai menggunakan peralatan khas 'grapping iron' namun tidak menemui mangsa.

"Anggota bomba bersama agensi bantuan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bertindak membuat pencarian di permukaan sungai menggunakan bot serta membuka pos kawalan di kawasan kejadian.

"Operasi pencarian diteruskan hari ini dan mangsa berjaya ditemui pada jam 9.55 pagi tadi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, anggota bomba bertindak mengangkat mayat mangsa dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. 

Katanya, operasi ditamatkan pada jam 10.58 pagi tadi.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments