KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus mempromosikan kesederhanaan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dalam usaha untuk merapatkan jurang perbezaan, menyelesaikan pertikaian serta menangani ekstremisme dan radikalisasi.
Sehubungan itu, Wisma Putra dalam satu kenyataan menjelaskan, Malaysia sedang berusaha untuk membawa satu resolusi berkaitan pendekatan kesederhanaan pada Sidang Ke-72 Perhimpunan Agung PBB.
Dari aspek keamanan dan keselamatan pula, jelas kenyataan itu, Malaysia sentiasa menyokong peranan utama PBB dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.
"Pada September lalu, Malaysia sudah menandatangani Triti Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear di New York. Tindakan menandatangani Triti itu mencerminkan pendirian tegas, serta komitmen dan sokongan Malaysia terhadap prinsip perlucutan senjata secara umum dan menyeluruh, khususnya perlucutan senjata nuklear dan usaha ke arah mewujudkan dunia yang bebas senjata nuklear.
"Malaysia juga turut memainkan peranan yang aktif di dalam misi pengaman PBB sejak tahun 1960. Sehingga kini, Malaysia sudah mengambil bahagian dalam 36 misi pengaman PBB dengan pembabitan lebih 35,000 tentera dan polis," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan Wisma Putra bersempena Hari Pertubuhan PBB, yang dirai 192 negara pada hari ini, sebagai menandakan berkuatkuasanya Piagam PBB pada tahun 1945, dengan Malaysia menyertainya pada September 1957.
Kenyataan itu menyebut, sejak menyertai PBB, Malaysia memainkan peranan aktif dalam mempromosikan tiga tonggak PBB - keamanan dan keselamatan, hak asasi manusia dan pembangunan.
"Selain dari memenuhi komitmen dan tanggungjawab antarabangsa di bawah rangka kerja PBB, Malaysia juga memainkan peranan efektif sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB bagi empat penggal - 1965; 1989-1990; 1999-2000 dan 2015-2016," katanya.
Malaysia juga jelas kenyataan itu, komited dalam menyokong dan melaksanakan Agenda 2030 untuk pembangunan mampan dalam mencapai 17 matlamat pembangunan mampan, dengan tiga komponen utama di dalamnya, iaitu pertumbuhan ekonomi, keperluan sosial dan perlindungan alam sekitar, selaras dengan intipati Rancangan Malaysia Kesebelas.
"Pada Julai tahun ini, Malaysia membentangkan Voluntary National Review di Forum Politik Peringkat Tinggi mengenai Matlamat Pembangunan Mampan di New York.
"Laporan itu menyatakan tindakan dan langkah diambil Malaysia dalam melaksanakan Agenda 2030 ke arah matlamat pembangunan mampan. Ini bukti komitmen berterusan Malaysia bagi mencapai Agenda itu," katanya.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments