Moto2: Hafizh naik podium di Jepun

KUALA LUMPUR: Penunggang Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah mendaki podium buat kali kedua musim ini apabila menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Jepun di kedudukan ketiga, sebentar tadi.

Pada perlumbaan di Litar Motegi yang berlangsung dalam keadaan hujan, Hafizh yang memulakan perlumbaan di petak keenam sedikit ketinggalan di awal perlumbaan sebelum bangkit pada lapan pusingan terakhir.

Pelumba pasukan PETRONAS Raceline itu tampak selesa sebelum mula memintas pelumba di hadapannya dan sekali pun dilihat mampu untuk menamatkan perlumbaan lebih baik, kedudukan ketiga boleh dianggap pencapaian cukup membanggakan.

Keputusan menyaksikan pelumba kelahiran Ampang, Selangor itu menambah 16 mata kejuaraan untuk mendaki satu anak tangga ke kedudukan ke-10 keseluruhan pelumba.

Perlumbaan dimenangi pelumba pasukan Marc VDS dari Sepanyol, Alex Marquez dengan rakan senegaranya, Xavi Vierge menamatkan saingan di tangga kedua.

Marquez menamatkan perlumbaan dengan catatan 32 minit 08.901 saat (s) dengan Vierge ketinggalan 1.465s manakala Hafizh melepasi garisan penamat 3.134s kemudian.

Ia adalah kedudukan podium ketiga buat Hafizh yang diberi jolokan Pescao sepanjang kariernya selepas turut menamatkan perlumbaan GP San Marino di tangga ketiga, bulan lalu.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments