Piala Malaysia: Durakovic akur tetapi positif

JOHOR BAHRU: Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic akur dengan kegagalan anak buahnya mara ke final Piala Malaysia, selepas tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta'zim pada separuh akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam tadi.

Malah, Durakovic turut menyifatkan ketiadaan lima tonggak utama Perak yang berdepan masalah kecederaan turut menjadi faktor skuad The Bos Gaurus gagal menyaingi JDT.

"Pemain saya sudah mempamerkan persembahan terbaik, namun keputusan tidak memihak kepada kami.

"Bukan mudah untuk kami berdepan pasukan kuat seperti JDT, apatah lagi kami ke sini (Larkin) tanpa lima pemain utama.

"Memang kecewa, tapi kami perlu sentiasa positif. Kekalahan ini bukan penamat bagi Perak khususnya masa depan pemain muda dalam skuad ini," kata pada sidang media selepas perlawanan.

Pada aksi malam tadi, jaringan Gonzalo Cabrera, Gabriel Guerra dan Darren Lok pada babak kedua memusnahkan impian Perak untuk mara ke final piala berprestij itu selepas kali terakhir berentap di pentas akhir pada musim 2007.

Kemenangan 3-0 JDT itu menyaksikan mereka mara ke final dengan kelebihan agregat 4-1 dan akan berdepan juara bertahan Kedah di Stadium Shah Alam pada 4 November ini.

Kedah turut mara ke final apabila menang secara agregat 3-1 ke atas FELDA United di Stadium Darul Aman.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments