Profesor muda penggerak agenda negara

MAJLIS Profesor Negara (MPN) pada 16 Ogos lalu mengadakan pertemuan dengan profesor muda yang dikategorikan di bawah umur 45 tahun. Bagi diri saya, program ini sangat menarik kerana berjaya mengumpul cendekiawan muda negara di samping pihak MPN mengiktiraf golongan kecil ini dan mengharapkan sumbangan besar yang boleh diberikan oleh profesor muda ini kepada negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Prof Datuk Dr Raduan Che Ros, menjelaskan mengenai pertemuan itu bahawa pencapaian Profesor Muda itu dianggap sangat cemerlang sebagai ahli akademik dan perlu dicontohi seluruh warga akademik negara yang berjumlah hampir 60,000 orang dari universiti awam dan swasta. MPN katanya, mengambil inisiatif untuk menggerakkan tenaga kepakaran mereka membantu agenda pembangunan negara dan masyarakat. Daripada lebih 2,716 profesor yang ada di Malaysia, hanya 131 profesor berada pada umur bawah 45 tahun.

Manfaat masyarakat

Bagi saya apa yang menarik daripada pertemuan itu adalah hala tuju yang perlu dimainkan oleh profesor muda ini untuk sama-sama menggerakkan negara ke arah kecemerlangan bukan sahaja kepada tahap akademik dan pendidikan tinggi negara, malah manfaat yang boleh dikecapi masyarakat dan negara secara keseluruhannya. Sumbangan profesor muda ini yang masih lama lagi untuk berkhidmat dalam sektor pendidikan sangat penting bagi menjamin agenda pembangunan negara tercapai khususnya dalam usaha negara meneroka Revolusi Industri 4.0 yang sedang berlangsung kini.

Dari segi akademik sudah tentu profesor muda ini dilihat sebagai autoriti kepada bidang yang mereka ceburi dan juga pakar rujuk atau pemikir yang boleh dimanfaatkan oleh negara. Profesor muda ini jelas berada pada radar agenda Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ke arah menggalakkan bentuk penyelidikan translational yang bercirikan serampang empat mata kerjasama, iaitu akademik, industri, masyarakat dan kerajaan.

Tidak hairanlah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh mengumumkan 2017 sebagai tahun Penyelidikan Translational pada Majlis Amanat Tahunan beliau pada 12 Januari lalu. Yang jelas, profesor muda harus mendokong agenda Penyelidikan Translational ini supaya inovasi dan pencapaian holistik daripada penyelidikan boleh diterjemahkan sebagai kebaikan umum kepada negara.

Pemimpin intelektual awam

Profesor bukan sahaja dilihat sebagai pemimpin kepada ilmu, malah mereka juga adalah pemimpin kepada universiti dan intelektual awam. Tidak dapat disangkal lagi kejayaan sesebuah universiti terletak kepada golongan profesor yang dipilih untuk memimpin universiti bagi meneruskan agenda negara.

Pengerusi MPM, Prof Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid, menggariskan empat faktor transformasi kepemimpinan institusi pengajian tinggi (IPT) iaitu kepimpinan universiti perlulah 1) bersandar kepada cirian kepemimpinan tradisi yang mengutamakan kesarjanaan dan kewibawaan; 2) berupaya menguruskan bakat melalui pendekatan kerjasama dan komunikasi berkesan; 3) integriti dan tanggungjawab beretika; dan 4) mengurus dan menghargai kepelbagaian.

Jadi profesor muda juga harus melalui proses cetusan bakat bagi membolehkan mereka diberi peluang untuk mengetuai universiti suatu hari nanti dan agenda yang dibawa haruslah bersandarkan bentuk kepemimpinan yang dijelaskan tadi. Yang nyata agenda pendidikan tinggi negara pada masa depan haruslah selari dengan agenda Revolusi Industri 4.0.

Ini memerlukan pendidikan tinggi berinovasi bukan sahaja dari segi penyelidikan, malah dalam konteks kepemimpinan universiti. Jepun melalui agenda 'Society 5.0' menjelaskan bahawa mereka sedang mewujudkan masyarakat berteknologi tinggi berlandaskan kepada penerapan penyelidikan translational yang diperkenalkan mereka. Kejayaan membangunkan masyarakat terletak pada kerjasama antara IPT dengan industri serta universiti dan agensi antarabangsa.

Oleh itu, sokongan dan dokongan kerajaan perlu bagi memantapkan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D). Daripada RM5.58 bilion yang dilaburkan untuk penyelidikan dari 2007 hingga 2015, universiti sebenarnya sudah menjana RM7.17 bilion pulangan pelaburan penyelidikan, yakni pertambahan 28.5 peratus.

Langkah ke arah Revolusi Industri 4.0 , pelaburan untuk penyelidikan perlu ditingkatkan. Selain itu, kerajaan juga menetapkan satu dasar yang menggalakkan industri dan pihak antarabangsa membantu menyumbang ke dalam pelaburan R&D khususnya dalam peningkatan dana wakaf dan endowmen universiti.

Saya teringat pesan nenek moyang kita, ikutlah resam padi 'makin berisi makin tunduk'. Saya yakin profesor muda ini akan mengikut pesanan itu. Pada masa sama, profesor muda juga akan melihat ke hadapan untuk menjadi pemangkin kepada agenda negara khusus Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Teringat saya juga pesan Timbalan Pengerusi MPN, Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin yang berpantun:

"Perleceh jangan sumbangan kecil,

Besar sumbangan

jangan dimegah,

Profesor tak kira

besar dan kerdil,

Pemikirannya tetap

sinar menyerlah."

Yang pasti, profesor muda ini adalah masa depan kelangsungan nusa dan bangsa.

Penulis adalah Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi dan Profesor di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments