Tabung Bencana NSTP-Media Prima agih bantuan

KOTA BELUD: Tabung Bencana NSTP-Media Prima di sini hari ini, mengagihkan bantuan bernilai RM40,000 dalam bentuk barangan dapur dan keperluan pembersihan kepada 200 keluarga mangsa banjir di sekitar daerah ini.

Sumbangan berbentuk barangan keperluan termasuk beras, minyak masak, air mineral dan serbuk pencuci bernilai RM200 setiap keluarga bagi membantu meringankan beban mangsa banjir di daerah berkenaan.

Sumbangan disampaikan oleh Staf Koresponden News Straits Times (NST) Sabah, Kristy Inus, kepada Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran), Peter Jiton, disertai sembilan Briged Sukarelawan Media Prima-NSTP.

Kristy berkata, sumbangan itu adalah hasil kutipan Tabung Bencana NSTP-Media Prima yang disalurkan bagi misi bantuan banjir di daerah Kota Belud.

"Kita bekerjasama dengan Pasaraya Giant bagi menjayakan misi bantuan kali ini.

"Bantuan ini akan diserahkan kepada pejabat daerah dan mereka bakal memilih lima kampung untuk menyalurkan sumbangan itu," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan berkenaan.

Terdahulu, Briged Sukarelawan Media Prima-NSTP turut melakukan aktiviti gotong-royong di Kampung Sembirai dan Linau bersama 200 sukarelawan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dari daerah Kota Belud, Kota Kinabalu, Kota Marudu dan Kudat.

Sementara itu, Peter berterima kasih kepada Media Prima atas sumbangan yang diberikan kepada mangsa banjir di daerah itu.

"Kita akan memilih lima kampung yang sudah didaftarkan sebelum menghubungi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) untuk penerimaan bantuan," katanya.

Kira-kira lebih 2,000 penduduk dari 26 kampung terjejas susulan banjir pada pertengahan bulan ini.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments