SHAH ALAM: Pejabat Menteri Besar Selangor mendakwa penyebaran maklumat bahawa anak saudara Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, ditahan kerana terbabit aktiviti lombong pasir haram, adalah berniat jahat.
Pengarah Komunikasi Strategiknya, Yin Shao Loong, dalam satu kenyataan media, berkata pihaknya kesal maklumat sedemikian tersebar secara meluas melalui media sosial dan kalangan penulis blog.
“Pentadbiran ini dimaklumkan bahawa salah seorang yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan terbabit dalam aktiviti perlombongan pasir haram adalah anak saudara Datuk Menteri Besar Selangor.
“Kita tidak mempersoalkan tanggungjawab SPRM untuk menjalankan sebarang siasatan. Namun, dalam kes ini, kita kesal kerana pembocoran maklumat secara meluas melalui media sosial dan blogger UMNO sebelum penahanan itu dilakukan, jelas menggambarkan wujudnya konspirasi jahat untuk memburukkan reputasi Datuk Menteri Besar dan Kerajaan Selangor menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.
“Bagaimanapun, sekiranya proses siasatan dijalankan secara profesional dan telus, pentadbiran ini mengalu-alukan siasatan yang mengikut lunas undang-undang tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak tertinggi yang berkepentingan,” katanya.
Shao Loong kemudian mengesahkan individu berkenaan adalah anak kepada kakak Mohamed Azmin.
Usaha pemberita mendapatkan kenyataan Mohamed Azmin sendiri juga gagal selepas menunggu lebih dua jam.
Mohamed Azmin yang berada di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), meninggalkan bangunan pentadbiran itu tanpa sempat ditemui pemberita kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi melalui lif khas.
Beliau yang kemudian menjawab khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar, meminta pemberita merujuk kepada kenyataan rasmi yang dihantar sebelum itu.
Comments
comments
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments