Chelsea lupa jasa Mourinho

MANCHESTER: Jose Mourinho berkata mungkin dalam tempoh lima tahun akan datang tiada siapa akan mengingati bahawa dia pernah menjadi pengurus Chelsea biarpun pernah membawa kejayaan buat The Blues.

Pengurus Manchester United itu akan ke Stamford Bridge pada Ahad ini untuk berdepan bekas kelab yang pernah dipimpin dua kali antara 2004 dan 2015, dengan memenangi tiga gelaran EPL, Piala FA (satu) dan tiga Piala Liga.

Biarpun mempunyai memori hebat bersama Chelsea, tetapi dia yang berdepan situasi tegang dalam dua aksi terakhir dengan Chelsea seperti mahu mengendurkan api perbalahan antara kedua-dua pasukan.

Pada musim lalu, terutama dalam aksi kontroversi suku akhir Piala FA yang mana Chelsea menang 1-0, Mourinho bertengkar di tepi padang bersama bos Chelsea Antonio Conte dan turut dikecam peminat The Blues.

Malah, dia dikritik Thibaut Courtois yang mendakwa Mourinho sengaja mengarahkan pemainnya melakukan kekasaran ke atas Eden Hazard dalam aksi itu yang membawa layangan kad merah kepada Ander Herrera.

Mourinho berjaya membalas dendam sebulan kemudian dalam aksi liga di Old Trafford dengan Herrera mengawal ketat kelibat Hazard sepanjang perlawanan untuk United mencatat kemenangan 2-0.

"Saya pernah ke sana bersama Inter (Milan) dan dua kali bersama Manchester united," katanya di pusat latihan Carrington.

"Saya perlu akui bahawa ia sedikit berbeza tetapi pada akhirnya saya mahukan kemenangan sama seperti saya lakukan bersama Inter.

"Mereka (Chelsea) pasti mahukan kemenangan seperti apa yang mereka lakukan pada musim lalu.

"Dan dalam tempoh beberapa tahun, saya rasa ia akan kembali normal, dan mungkin dalam tempoh empat atau lima tahun tiada siapa yang akan mengingati yang saya pernah mengendali Chelsea." - AFP



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments