RANTAU PANJANG –[VIDEO] Atas rasa tanggungjawab terhadap pesakit, jururawat Klinik Kesihatan Gual Periok dan anggota Polis Rantau Panjang berusaha memujuk seorang wanita yang sarat mengandung ke hospital selepas laluan ke kampung itu dinaiki air setinggi satu meter.
Selepas mendapati seorang ibu mengandung di Kampung Kok Kiyeh tidak mendaftar di mana-mana klinik kesihatan atau pusat pemindahan, Jururawat Masyarakat, Nik Nor Aisah Nik Zul Azhar berkata, pihaknya terpaksa mengunjungi rumah Rohani Abd Rahman, 45, dan memujuknya untuk berpindah ke kawasan selamat.
Nik Aisah berkata, usaha itu perlu dilakukan kerana waktu kelahiran dijangka berlaku dalam masa terdekat.
Malah katanya, laluan ke kampung itu mula dinaiki banjir dan hanya boleh dilalui kenderaan berat.
Jika pesakit enggan berpindah, Nik Nor Aisah berkata, ibu dan bayi dalam kandungannya berdepan risiko sekiranya tidak sempat ke hospital semasa proses kelahiran bermula.
“Kebanyakan pesakit di sini mula berpindah ke tempat selamat tapi hanya segelintir tidak bertindak sehingga memaksa kakitangan keselamatan mengambil mereka di rumah,” katanya.
Nik Asiah dan anggota polis mengunjungi rumah Rohani kerana bimbangkan keselamatan wanita itu yang sarat hamilBeliau berkata, meskipun menyedari paras air Sungai Golok melepasi laras bahaya namun masih ada pihak mengambil isu ini sebagai perkara remeh.
Sementara itu, Rohani berkata, dia enggan berpindah kerana yakin kelahiran tidak akan berlaku dalam waktu terdekat.
“Lagipun saya rasa banjir akan mula reda dan saya dapat ke hospital dengan bantuan suami dan saudara terdekat dengan menaiki perahu.
“Buat masa ini saya belum rasa tanda-tanda kelahiran malah tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang mengandung anak ketujuh ini,” katanya.
Rohani bagaimanapun akhirnya akur berpindah ke pusat pemindahan sementara di Gual Sitok dengan menaiki kenderaan polis. – SINAR HARIAN
Comments
comments
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments