GENEVA: Kerajaan Myanmar diarahkan untuk menghantar laporan jenayah keganasan seksual yang dilakukan pasukan keselamatan negara itu, ke atas golongan wanita dan kanak-kanak dari etnik Rohingya.
Jawatankuasa Penghapusan Diskriminasi Terhadap Wanita PBB (CEDAW) turut mengarahkan laporan itu disertakan bersama cadangan atau pendekatan yang wajar digunakan bagi menghukum anggota keselamatan terbabit.
Myanmar turut diminta memberikan perincian maklumat berhubung wanita dan kanak-kanak perempuan yang maut sejak pihak keselamatan memulakan operasi mereka sejak Ogos lalu.
Kempen ketenteraan itu yang disusuli pemberontakan oleh pejuang Rohingya ke atas pos kawalan polis, memaksa lebih 600,000 penduduk wilayah Rakhine itu melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh.
Anggota panel, Nahla Haidar berkata, laporan yang diminta itu selaras dengan mandat diberikan kepada jawatankuasa berkenaan.
"Kami mahu satu laporan berkecuali dari negara yang berdepan dengan keganasan terancang secara besar-besaran dan ia sejajar dengan mandat diberikan kepada CEDAW," katanya.
Panel pemerhati PBB itu yang dibarisi 23 pakar memberikan tempoh selama enam bulan kepada Myanmar untuk menyerahkan laporan terbabit kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres. - Reuters
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments