KUALA LUMPUR: Veteran UMNO Malaysia berharap Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 akan memberi tumpuan kepada persiapan dan strategi parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.
Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, berkata perkara itu penting kerana PAU 2017 adalah medan terakhir untuk membahaskan usul berkenaan sebelum pilihan raya diadakan.
"Kami percaya ucapan dasar Presiden akan menumpukan kepada persiapan PRU-14. Oleh itu pembahas ucapan dasar perlu mengupas dan memberi cadangan serta saranan dalam memastikan kemenangan Barisan Nasional dan UMNO dalam PRU-14 nanti.
"Kami berharap pembahas tidak hanya memberikan ucapan pujian kepada pucuk pimpinan demi menjaga peluang bertanding dalam pilihan raya nanti," katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Mustapha berkata, PRU 14 juga disifatkan sebagai ibu segala pilihan raya umum dan semua usul yang dibentangkan sepatutnya dikaitkan dengan persiapan penting berkenaan.
"Panduan mereka akan menjadi panduan kepada jentera parti di seluruh negara selain membantu ucapan penangguhan presiden dan naib presiden yang akan menjadi dasar perjuangan parti," katanya.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments