Axis 02 PJ FC juara SCL 2017

SHAH ALAM: Pasukan dari Petaling Jaya, Axis 02 PJ FC menewaskan pasukan dari Shah Alam, PIB FC dengan jaringan 4-1 menerusi penentuan penalti dalam perlawanan akhir kejohanan Selangor Champions League 2017 (SCL 2017) di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Sepakan penalti disumbangkan oleh Syed Aizad Daniel Syed Nasir, Muhamad Aidil Shahril Rosli, Muhammad Farhan Khairul Anuar dan Mohd Lukhman Noor Hakim Jaafar.

Kedua-dua pasukan terikat satu sama apabila tamat 90 minit masa perlawanan, menerusi jaringan pada minit ke-26 oleh Khairul Anuar Abd Rahim daripada PIB FC manakala pemain Axis 02 PJ FC berjaya menyamai kedudukan menerusi sepakan Muhammad Farhan pada minit ke-65.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan trofi kejohanan dan hadiah wang tunai RM13,000. 

Tengku Amir Shah selaku Penaung Diraja Selangor Youth Community (SAY) yang menjadi penganjur bersama Football Selangor bagi kejohanan itu.

Sementara itu, Pengurus Kanan SAY, Zaiferez Hadzere Zainal berkata, juara kejohanan turut diiktiraf sebagai pasukan bola sepak amatur terbaik di Selangor dan bakal beraksi dalam Piala FA Malaysia 2018.

"Kejohanan SCL 2017 anjuran SAY dan Football Selangor sudah memasuki edisi kedua tahun ini selepas kali pertama dianjurkan tahun lalu. 

"Kejohanan itu yang diilhamkan oleh Tengku Amir Shah, menemukan pasukan-pasukan terbaik dari liga-liga bola sepak sosial dan amatur dari seluruh Selangor.

"Walaupun usia kejohanan ini baru menginjak dua tahun, SCL berjaya mencapai objektifnya untuk mencungkil bakat-bakat baharu di peringkat amatur dan menjadi kejohanan paling berprestij di Selangor," katanya.

Beliau berkata, beberapa pemain yang beraksi dalam SCL2017 kini sudah mula berada dalam radar pasukan profesional di Malaysia. 

"Kualiti, piawaian, standard penganjuran dan liputan media yang meluas mendorong pasukan amatur terbaik di Selangor sudah mula berebut mendapatkan slot layak ke SCL pada tahun hadapan. 

"SCL 2017 kali ini mengumpulkan 18 pasukan terbaik dari 16 liga bola sepak sosial dan amatur di seluruh Selangor," katanya.

Zaiferez berkata, dalam usaha meningkatkan prestij SCL 2017, tahun ini Football Selangor memilih Stadium Shah Alam sebagai gelanggang perlawanan akhir. 

"Reputasi dan sejarah Stadium Shah Alam adalah penghargaan tertinggi diberikan kepada Football Selangor," katanya.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments