‘Kalau aku dah tak ada…’

Foto Rohani Alam Shah.

KLUANG: Gurauan seorang abang berkisar soal perpisahan ketika bercuti bersama keluarga di ibu negara menjadi kenangan terakhir sebelum nahas yang meragut nyawanya bersama isteri dan tiga anak di Segamat, semalam.

Allahyarham Muhamad Abu Dujanah Dzulkrinain, 30, kerap mengusik adik perempuannya, Nurul Fatihah, 19, ketika mereka bercuti bersama, Ahad lalu, malah turut berkata: “Kalau aku dah tak ada, kau akan rindu nanti.”

Adik Allahyarham, Mohd Fajrul Islam, 21, berkata mereka sekeluarga seramai 11 orang bercuti ke Kuala Lumpur sejak Sabtu lalu sebelum berpecah ke Melaka, manakala keluarga Muhamad Abu Dujanah meneruskan perjalanan ke kampung isterinya di Muadzam, Pahang.

“Ketika bercuti, sikap abang memang lain. Dia pendiam dan tidak banyak bercakap… hanya bermain telefon sedangkan biasanya dia gemar bergurau.

“Ahad lalu, dia mengusik adik kami Nurul Fatihah sampai merajuk,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga di Kampung Mengkibol, di sini hari ini.

Mohd Fajrul Islam mendapat berita mengenai kemalangan yang mengorbankan nyawa abang dan kakak iparnya serta tiga anak saudaranya agak lewat iaitu kira-kira jam 8 malam tadi menerusi abang sulungnya.

“Saya benar-benar terkejut dan macam tidak percaya abang dan keluarganya sudah tiada,” katanya.

Jiran mangsa di Taman Ilham, Masliha Mahat, 34, kali terakhir menemui keluarga Allahyarham pada Jumaat lalu.

“Biasanya kalau pulang ke kampung, mereka akan maklumkan pada kami kerana kami berjiran tetapi kali tidak. Kami pun tak tahu mereka sekeluarga bercuti.

“Allahyarham jarang keluar rumah kerana berniaga manakala isterinya menjaga kedai kain di restoran keluarga mereka di sini,” katanya.

Jenazah lima sekeluarga itu dijangka dibawa pulang ke rumah datuk mereka di Kampung Mengkibol, Kluang untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Jalan Haji Manan, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang semalam, kenderaan dinaiki enam sekeluarga terbabit yang dalam perjalanan dari Muadzam Shah, Pahang ke Kluang dipercayai gagal dikawal sebelum terbabas dan merempuh sebuah bas ekspres dari arah bertentangan.

Kemalangan menyebabkan Muhamad Abu Dujanah dan isterinya, Zinnirah Abdul Hamid, 28, maut di lokasi kejadian.

Turut terkorban dalam kemalangan itu ialah anak mereka iaitu Nur Magfirah, 6; Muhammad Abu Ajwad, 4 dan Nur Alia Humairah, tiga bulan.

Seorang lagi anak mereka, Nur Ghaziyah Athirah, 3, dilaporkan keadaan kritikal dan masih berada di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments