KUALA LUMPUR: Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Ehsan, Kepong, di sini meninggal dunia di Daegu, Korea Selatan, ketika menghadiri Persidangan Antarabangsa Pendidikan Khas, semalam.
Normala Abdullah, 56, meninggal dunia selepas pengsan ketika keluar dari lif hotel penginapannya, Piano Hotel, pada jam 10.45 malam, waktu tempatan.
Adiknya, Zainal Abidin, 54, berkata dia mendapat tahu berita itu pada jam 3.30 pagi waktu tempatan, selepas diberitahu oleh anak arwah yang menetap di Bandar Baru Sungai Buloh.
"Kakak ketika itu baru tiba di hotel dan semasa dalam lif menuju ke bilik penginapannya, dia rebah dan peserta lain membantu mengangkatnya ke dalam bilik.
"Pada masa sama, pihak hotel menghubungi ambulans dan mereka tiba dalam masa lima minit.
"Pihak medik tiba di lokasi dan terus melakukan rawatan awal, namun kakak masih tidak sedarkan diri, kemudian dia dibawa ke Catholic University Medical Centre, Seoul," katanya ketika dihubungi BH.
Zainal Abidin berkata, anak sulung Allahyarham, Muniratul Akmal Mohd Azaiuddin, 31, sudah berada di Korea Selatan bagi urusan membawa pulang jenazah ibunya ke tanah air.
Katanya, Allahyarham juga tidak mempunyai masalah kesihatan sewaktu berada di Malaysia.
"Saya sempat bertemu kakak seminggu lalu dan dia tidak menunjukkan sebarang tanda, malah gembira untuk mengikuti program tersebut.
"Dia seorang kakak yang baik dan bertanggungjawab kepada keluarga dan adik-adiknya. Kehilangannya amat dirasai kami.
"Pihak hospital akan melakukan bedah siasat pada Isnin depan dan akan diketahui pada Selasa atau Rabu," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Mohd Salleh Mohd Kassim yang turut dihubungi BH, hari ini berkata, pihaknya akan membantu urusan keluarga arwah, termasuk untuk membawa pulang jenazah ke tanah air.
"Keluarga sudah dimaklumkan dan anak arwah juga sudah berada di sana (Korea Selatan). Jenazah masih lagi di sana. Pihak JPN akan memberi sokongan serta membantu keluarga arwah.
"Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang dengan pertolongan Kedutaan Malaysia selepas selesai bedah siasat dan akan dikebumikan di Bandar Baru Sungai Buloh," katanya.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments