MARAN: Seorang mekanik maut selepas motosikal yang ditunggang bersama isteri melanggar lembu yang dipercayai tiba-tiba melintas di jalan besar FELDA Jengka 23, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 1.40 tengah hari, mangsa Muhammad Faizal Muhamad Mokhtar, 24, dari Taman Ampang Saujana, Ampang, Selangor meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala, manakala isterinya, Nor Haleana Dali, 24, cedera di kaki kiri.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman, berkata ketika kejadian Muhammad Faizal dan Nor Haleana dikatakan dalam perjalanan dari Ampang, Selangor menuju ke FELDA Jengka 23, di sini bagi menghadiri kenduri kahwin bapa saudara mangsa.
"Ketika tiba di tempat kejadian, tiba-tiba seekor lembu dipercayai melintas dari kiri ke kanan jalan secara mengejut menyebabkan mangsa gagal mengelak dan melanggar haiwan terbabit.
"Akibat pelanggaran berkenaan, mangsa dipercayai terpelanting ke sebelah kanan jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian, isterinya pula parah," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Norzamri berkata, jenazah Allahyarham dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat, manakala isterinya turut dirujuk ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments