Kongkang sembunyi dalam enjin Myvi

KUALA PILAH – Perjalanan tiga sekawan pulang ke kampung halaman di Pahang terbantut apabila seekor kongkang jantan bersembunyi di dalam enjin kereta mereka, malam tadi.

Kejadian berlaku jam 11 malam di hadapan Masjid Kariah Seri Mungkal Tanjung Ipoh.

Ketua Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM), Sarjan Majeran Lon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan oleh orang awam jam 11.10 malam dan bergegas ke lokasi tersebut.

Beliau dimaklumkan, pemandu kereta Perodua Myvi berusia 25 tahun bersama dua rakan perempuannya sedang menuju ke Pahang sebelum terserempak dengan kongkang itu.

“Setibanya di lokasi, kongkang itu sedang melintas jalan dan pemuda tersebut sempat mengelak lalu berhenti di bahu kiri jalan menghala ke Kuala Pilah dari arah Seremban.

“Pemuda berkenaan dikatakan mahu membantu kongkang itu melintas jalan kerana binatang spesies primat itu bergerak secara perlahan namun aktif pada waktu malam.

“Bagaimananpun, niat murni pemuda itu akhirnya bertukar tragedi apabila kongkang jantan bertindak menggigit dan secara tiba-tiba memasuki enjin keretanya,” katanya.

Panik dengan situasi itu, pemuda berkenaan telah bertindak menghubungi APM dibantu penduduk kampung yang kebetulan melalui jalan tersebut.

“APM mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan kongkang kerana spesies ini sangat malu. Apabila berasa diancam mamalia kecil ini akan menjadi statik.

“Sedikit sebanyak ia menyukarkan kerja-kerja menyelamat namun dengan kepakaran yang ada, kita berjaya mengeluarkan kongkang dari enjin tanpa mencederakannya.

“Kongkang seberat 700 gram itu telah dilepaskan di hutan berhampiran kawasan berkenaan,” katanya yang dibantu dua anggota APM.

Comments

comments



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

0 Response to Kongkang sembunyi dalam enjin Myvi

Post a Comment