Senjata, pengangkutan perlu ‘pembaharuan segera’, kata Mat Sabu

Menteri pertahanan berkata persenjataan dan alat pengangkutan tentera perlu moden dan canggih selepas mendengar taklimat tentera darat, laut dan udara.

BUTTERWORTH: Beberapa pembaharuan perlu dibuat, terutama membabitkan peralatan ketenteraan bagi memastikan kesiagaan anggota tentera berada pada tahap maksimum, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Beliau berkata, perkara itu akan dibawa kepada Kabinet untuk dipertimbangkan kerana pasukan keselamatan negara amat memerlukan peralatan ketenteraan yang moden dan canggih.

“Bila mendengar taklimat tentera darat, laut dan udara, saya rasa perlu tindakan segera untuk kita memperkemaskan peralatan ATM. Saya harap perdana menteri dapat menyokong untuk membuat pembaharuan segera, terutama soal peralatan ketenteraan kita.

“Inilah yang kita mahu supaya peralatan kelengkapan ketenteraan sama ada di peringkat persenjataan atau peralatan pengangkutan berada dalam keadaan terbaik supaya soal keselamatan negara menjadi keutamaan demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia,” katanya selepas majlis berbuka puasa bersama-sama anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Butterworth hari ini.

Turut hadir isteri Mohamad, Normah Alwi, Panglima ATM Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan pegawai kanan TUDM serta anggota dari Institut Kepimpinan dan Pengurusan (INSKEP) dan Kolej Tentera Udara, Alor Setar.

Pangkalan Udara Butterworth menjadi destinasi kunjungan pertama Mohamad selepas menerajui Kementerian Pertahanan 22 Mei lepas.

Mengenai dakwaan di media sosial berhubung penyelewengan membabitkan pembelian aset dan pengoperasian pasukan keselamatan itu, Mohamad berkata ia akan disiasat sebuah jawatankuasa yang diwujudkan untuk menyelesaikanya.

“Saya belum lagi tengok kes demi kes. Hari ini hari ke-5 saya menjadi menteri, kebanyakannya saya mendengar taklimat daripada pegawai mengenai perjalanan kementerian. Saya ambil pendekatan bersuai kenal dengan pegawai dahulu.

“Selepas ini, barulah kita pergi kepada perkara yang disebut dalam media. Saya mengambil pendekatan bahawa saya tidak akan bertindak berdasarkan ‘hearsay’…mesti oleh jawatankuasa,” katanya.

Ditanya mengenai pengalaman pertamanya menaiki pesawat A400M, Mohamad berkata sejak kecil beliau mendengar bunyi pesawat tentera berlepas dan mendarat kerana rumahnya terletak berhampiran dengan pangkalan udara itu.

“Inilah pertama kali saya dapat naik kapal terbang TUDM A400M dan perjalanannya baik walaupun dalam keadaan awan agak tebal tapi goncangnya agak kurang.

“Saya sendiri tidak rasa cemas apa-apa. Saya haraplah kapal terbang ini sentiasa berada dalam keadaan baik, terutama untuk membawa tentera kita menjalankan tugas menjaga keselamatan seluruh negara,” katanya.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.


sumber

0 Response to Senjata, pengangkutan perlu ‘pembaharuan segera’, kata Mat Sabu

Post a Comment