MOM yakin kemampuan PHISGOC

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yakin dengan kemampuan Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) untuk menyelesaikan segala isu yang berbangkit termasuk venue pertandingan dan logistik sebelum temasya dwitahunan itu membuka tirai secara rasmi 30 November ini.

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata pihaknya sentiasa berhubung dengan PHISGOC bagi mengetahui perkembangan terhadap semua masalah yang timbul.

"Sudah pasti kita ada menerima maklum balas daripada ketua kontinjen (Datuk Megat Zulkarnain Omardin) dan pihak sekretariat yang mana ada beberapa perkara yang masih belum disiapkan.

"Ini juga termasuk isu venue, logistik peralatan, membabitkan hal kontinjen dan sukan-sukan tertentu. 

"Namun, kita percaya dan yakin dengan kebolehan PHISGOC untuk menyelesaikan semua permasalahan ini sebelum acara pembukaan pada 30 November ini. 

"Kita di pihak sekretariat sentiasa berhubung rapat dengan PHISGOC untuk mengenal pasti dan mengambil kira perkara yang kita timbulkan dapat diselesaikan secepat mungkin," kata Norza ketika sidang media selepas majlis penyerahan bendera kepada kontinjen negara yang disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, hari ini.

Kontinjen negara kali ini diwakili 773 atlet dan 339 pegawai yang akan mengambil bahagian dalam 52 daripada 56 jenis sukan yang dipertandingkan.



Sumber : MOM yakin kemampuan PHISGOC

Post a Comment

0 Comments