KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) perlu menjelaskan inti pati perjanjian pinjaman pelajaran MARA yang didakwa menyekat kebebasan peminjam, suami atau isteri, dan ibu bapa peminjam daripada terbabit dalam parti politik atau sebarang kegiatan berunsur politik.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, Na’im Brundage, berkata perjanjian itu jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan kepada rakyat.
Katanya, setiap warganegara yang prihatin perlu bertanggungjawab memastikan kebebasan diperuntuk bagi semua rakyat terus terpelihara.
“MARA juga harus meneliti semula perjanjian pinjaman pelajaran ini berikutan Seksyen 15(2)(c)dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sudah dimansuhkan.
“Ia sekali gus membenarkan mahasiswa untuk bebas berpolitik di dalam dan luar kampus.
“Perjanjian pinjaman pelajaran sebuah agensi kerajaan seharusnya selari dengan undang-undang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Na’im berkata, pihaknya meminta kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memberi perhatian kepada isu berbangkit, berikutan ia secara tidak langsung menyentuh kepada janji yang termaktub dalam manifesto PH berjudul Buku Harapan.
Ia membabitkan Janji 28: Membina generasi muda yang kreatif dan bebas daripada cengkaman kezaliman dan Janji 50: Mengembalikan wibawa universiti awam dan pengajian tinggi.
“AMK Wilayah Persekutuan berpendapat tindakan menyekat kebebasan berpolitik dalam perjanjian pinjaman pelajaran ini bersifat zalim.
“Ia bukan sahaja memberi kesan terhadap peminjam, malah kebebasan suami atau isteri dan ibu bapa peminjam daripada menyertai parti politik atau sebarang kegiatan aktiviti berunsur politik,” katanya.
Beliau berkata kebebasan rakyat Malaysia untuk berpolitik seharusnya lebih terjamin pada era Malaysia baharu.
“Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar harus memainkan peranan dalam memantau dan memastikan bahawa agensi kerajaan yang berkaitan bebas daripada unsur serta budaya politik kerajaan lama.
“Kita menolak usaha cuba menyekat kebebasan rakyat daripada berpolitik secara aktif,” katanya.
Sumber : Pelajar tajaan MARA dilarang berpolitik
0 Comments