Rafiq anggap diri bertuah

KUALA LUMPUR: Jaguh tenpin boling negara, Muhammad Rafiq Ismail menyifatkan dirinya bertuah selepas dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang buat kontinjen Malaysia pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

Atlet berusia 22 tahun sedar ia adalah tanggungjawab yang cukup besar tetapi dalam masa sama yakin pemilihan itu mampu dijadikan motivasi buat dirinya untuk menghasilkan keputusan positif di Manila.

"Daripada 700 lebih atlet negara yang menyertai Sukan SEA kali ini, saya yang terpilih. Sudah pasti saya berbangga untuk menjadi pembawa bendera Malaysia pada temasya kali ini.

"Tidak dinafikan, ia sedikit memberi tekanan tetapi saya mahu jadikannya lebih kepada motivasi. Saya percaya ia boleh membantu saya untuk lebih fokus bagi menghadapi saingan kali ini," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan bendera kepada kontinjen negara yang disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, hari ini.

Pada temasya edisi ke-30 kali ini, Rafiq meletakkan sasaran peribadi untuk meraih satu pingat emas menerusi acara berpasukan.

"Jika dapat lebih, saya anggap itu sebagai bonus. Saya tidak mahu meletakkan tekanan yang tidak sepatutnya ke atas diri sendiri kerana apa yang paling penting adalah persiapan saya," kata Rafiq yang akan membuat penampilan ketiga di pentas Sukan SEA.

Dia akan menyertai acara individu, beregu, beregu campuran selain berpasukan dan layak beraksi dalam saingan masters jika berjaya menempatkan diri dalam kelompok 16 terbaik bagi semua acara berkenaan.



Sumber : Rafiq anggap diri bertuah

Post a Comment

0 Comments