KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) meminta kerajaan menimbang semula pelaksanaan pindaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang akan berkuat kuasa Isnin ini.
Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan, berkata majikan ketika ini berdepan situasi getir akibat penularan COVID-19.
"Saya merasakan kerajaan tidak sepatutnya menambah beban majikan kerana mereka berdepan pelbagai masalah seperti peningkatan kos dan tiada pendapatan.
"Jika akta ini dikuat kuasakan, majikan yang ketika ini berdepan pelbagai masalah akan lebih tertekan kerana terpaksa menanggung lebih banyak kos berkaitan.
"Saya berharap kerajaan dapat menggunakan budi bicara menimbang semula untuk menguat kuasakan akta kerana ini bukan masa yang sesuai untuk menekan majikan dengan undang-undang," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dalam satu kenyataan semalam berkata, kerajaan akan menguatkuasakan pindaan terhadap Akta 446 bermula 1 Jun ini bagi mencegah penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja asing membabitkan semua sektor.
Beliau bagaimanapun berkata, pindaan Akta 446 yang terpakai di seluruh Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan akan hanya dilaksanakan sepenuhnya pada 1 September ini bagi memberi penangguhan kepada majikan untuk membuat persediaan sewajarnya.
Pindaan itu bagi menambah baik Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing 2018 yang disediakan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) membabitkan standard ruang minimum kediaman, kemudahan asas bagi rumah dan pekerja serta elemen keselamatan dan kebersihan yang perlu dititikberatkan majikan.
Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, kerajaan seharusnya membimbing majikan dan pekerja bagi membendung penularan COVID-19 berbanding melaksanakan pindaan akta berkenaan.
"Pada pandangan saya, banyak lagi cara yang boleh dilakukan kerajaan seperti penjarakan sosial dan menjaga kebersihan di penginapan pekerja seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan.
"Justeru, kerajaan harus lebih sensitif dengan situasi pada masa ini dan membantu mengekalkan pekerja, bukan menambah beban kepada majikan," katanya.
Sumber : Timbang semula pindaan Akta 446
0 Comments