Abai sakit sendiri jaga anak saudara derita sawan

KUALA NERUS: Seorang wanita sanggup mengenepikan penyakit dihidapinya, demi menjaga anak saudara yang menghidap sawan sejak 15 tahun lalu.

Lebih menyedihkan, Athma Hamzah, 60, dari Kampung Teluk Ketapang, Seberang Takir, di sini, terpaksa berkongsi bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM200 sebulan diterimanya untuk menampung keperluan hidup, termasuk kos rawatan sendiri dan anak saudara.

Selain rabun, Athma menghidap kencing manis dan darah tinggi, hingga terpaksa ke klinik kesihatan sebulan sekali untuk mendapatkan rawatan susulan.

Anak saudaranya, Mohd Fauzie Anuwar, 35, tidak menerima sebarang bantuan, juga terpaksa berulang alik ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

Athma menjelaskan, Mohd Fauzie tinggal di bawah jagaannya selepas abangnya meninggal dunia lebih 10 tahun lalu.

"Saya tidak pernah berkahwin dan selepas semua adik-beradik meninggal dunia lebih tujuh tahun lalu, hanya Mohd Fauzie satu-satunya peneman hidup saya.

"Saya amat memerlukan bantuan kewangan terutamanya untuk menampung kos berulang alik ke klinik kesihatan," katanya ketika ditemui di kediamannya, hari ini.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, turun padang menziarahi kediaman Athma sempena program ziarah komuniti.

Yang turut hadir, Pengarah JKM negeri, Zuhami Omar dan Pengarah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Zon Timur, Zahimi Mohamad.

Pada program itu, Rina turut menyampaikan bantuan keperluan makanan asas dan sumbangan kewangan.

"Saya minta JKM negeri melakukan pemantauan Athma dan Mohd Fauzie secara berterusan.

"YKN juga sudah dicadangkan supaya meluluskan bantuan segera prihatin sebanyak RM500 kepada Athma bagi meringankan bebanan kewangan dihadapinya," katanya.



Sumber : Abai sakit sendiri jaga anak saudara derita sawan

Post a Comment

0 Comments