
BERLIN: Bekas kapten Jepun, Makoto Hasebe berkata dia bangga selepas dapat mengatasi rekod pemain Asia dengan penampilan terbanyak di Bundesliga.
Pemain 36 tahun itu beraksi 90 minit penuh ketika Eintracht Frankfurt tumpas 2-0 kepada Mainz dan ia adalah penampilan kali ke-309 Hasebe, sekali gus memintas rekod bekas penyerang Korea Selatan, Cha Bum Kun.
"Saya bangga beraksi paling banyak di Bundesliga berbanding pemain Asia lain. Bagaimanapun, bagi saya paling penting sekali ialah membantu pasukan mencatat kemenangan.
"Kami tidak beraksi dengan baik seperti yang diinginkan hari ini. Kami masih ada kelemahan di beberapa bahagian," kata Hasebe.
Hasebe membuat penampilan sulung di Bundesliga pada tahun 2008 bersama Wolfsburg, di mana dia muncul juara liga sebelum beraksi selama semusim di Nuremburg.
Pada tahun 2014 dia menyertai Eintracht dan beraksi lebih daripada 150 kali sehingga berjaya membantu pasukan menjulang Piala Jerman 2018.
Dia bersara dari pentas antarabangsa selepas Piala Dunia 2018 - dengan 114 penampilan buat Jepun.
Mei lalu Hasebe mengumumkan dia akan mengambil posisi sebagai duta kelab bermula bulan depan dan kekal memainkan dua peranan bagi musim ke-14 di Jerman.
Eintracht berada di tangga ke-11 dan hanya mencatat satu kemenangan sejak liga kembali bersambung selepas dua bulan ditangguh akibat pandemik COVID-19. - AFP
Sumber : Hasebe pegang rekod Asia Bundesliga
0 Comments