Industri perfileman bernafas semula

KUALA LUMPUR: Selepas lebih tiga bulan sepi, premis acara seperti pentas teater, pawagam dan lokasi hiburan lain 'hangat' semula biarpun penganjur perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Penerbit dan pengarah disegani, Mamat Khalid berkata, kebenaran membuka semula pawagam membuktikan kerajaan serius membantu menggerakkan industri perfileman yang terhenti.

"Pada saya, jumlah 250 orang untuk sebuah pawagam memadai kerana MKN membuat kajian terperinci daripada segi bilangan penonton sesuai.

"Lagipun jumlah audiens bukanlah masalah besar. Apa yang penting, tempoh tayangan dapat dipanjangkan.

"Apabila ini berlaku, secara tidak langsung, ia memberi impak daripada sudut kreativiti. Penerbit atau pengarah akan berlumba-lumba menghasilkan karya berkualiti dan menepati cita rasa penonton," katanya kepada BH Online.

Pada sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan aktiviti pawagam, teater dan acara 'live' bagaimanapun tidak boleh melebihi 250 individu bagi setiap pertunjukan, selain tertakluk kepada kapasiti dewan dengan prosedur operasi standard (SOP).

Ismail Sabri dilaporkan berkata, SOP mestilah ketat daripada segi kawalan kemasukan dengan kapasiti masih kekal 250 orang, selain pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki premis.

Pengarah, Ghaz Abu Bakar bagaimanapun membangkitkan kemungkinan filem yang dijangka mencapai kutipan pecah panggung gagal menepati sasaran apabila jumlah penonton dihadkan kepada 250 orang.

"Walaupun pembukaan semula pawagam berita menggembirakan buat penggiat industri perfileman, namun, pada saya, ia ada risiko terutama kepada filem yang dijangka mampu mencapai kutipan pecah panggung.

Pengarah, Ghaz Abu Bakar mencadangkan pawagam memperbanyakkan slot tayangan dan membuka lebih banyak pawagam untuk filem tempatan.
Pengarah, Ghaz Abu Bakar mencadangkan pawagam memperbanyakkan slot tayangan dan membuka lebih banyak pawagam untuk filem tempatan.

"Bagi saya, lebih baik jika pawagam dibuka apabila keadaan kembali pulih seperti sedia kala," katanya.

Ghaz berkata, dalam situasi biasa, kadang-kala sukar untuk filem tempatan meraih kutipan tinggi, apatah lagi jika jumlah penonton dihadkan.

"Saya mencadangkan pawagam memperbanyakkan slot tayangan dan membuka lebih banyak pawagam untuk filem tempatan. Mungkin ini boleh membantu filem kita 'bernafas' semula," katanya.



Sumber : Industri perfileman bernafas semula

Post a Comment

0 Comments