Juventus buat Lecce merana

TURIN, Itali: Juventus melebarkan jurang di puncak Seria A kepada tujuh mata selepas membelasah Lecce 4-0 di Turin dan menambah tekanan ke atas pesaing kejuaraan, Lazio.

Rembatan Paulo Dybala dan penalti Cristiano Ronaldo di babak kedua memastikan kelebihan buat Juve di Stadium Allianz sebelum Gonzalo Higuain dan Matthijs de Ligt mengesahkan kemenangan.

Lecce yang terpaksa bermain 10 orang hampir sejam kekal di tangga ketiga tercorot liga, mengumpul 25 dengan Genoa yang di atas mereka dan satu mata di belakang Sampdoria yang menghuni tangga ke-16.

Paulo Dybala (kanan) bersaing dengan pemain Lecce, Marco Mancosu. - Foto AFP
Paulo Dybala (kanan) bersaing dengan pemain Lecce, Marco Mancosu. - Foto AFP

Juve bermula cemerlang tetapi Lecce berjaya mengekang asakan mereka sehingga Fabio Lucioni dibuang padang selepas bertembung dengan Rodrigo Bentancur.

Skuad kendalian Maurizio Sarri terus mengasak sebaik babak kedua bersambung dan akhirnya memecah kebuntuan menerusi rembatan padu minit ke-53 Dybala.

Ronaldo menambah jaringan pada minit ke-62 selepas dia dijatuhkan Luca Rosettini dalam kotak penalti.

Higuain, yang hampir membuka jaringan sebaik dimasukkan pada minit ke-77, meledak gol ketika permainan berbaki tujuh minit.

Ligt melengkapkan kemenangan dua minit kemudian apabila menanduk hantaran Douglas Costa. - AFP



Sumber : Juventus buat Lecce merana

Post a Comment

0 Comments