Kemenangan bergaya Rashford

LONDON: Luahan Marcus Rashford memaksa Perdana Menteri Britain, Boris Johnson membuat pusingan U dengan memberi baucar makanan percuma sebanyak £15 (RM81) seminggu untuk kanak-kanak miskin sepanjang cuti musim panas.

Selepas mendapat tekanan daripada anggota parlimen dan selebriti, kerajaan berkata akan membiayai rancangan ini, walaupun mengatakan ia tidak akan dilaksana semasa musim panas.

Ibu bapa yang layak boleh menuntut bantuan tambahan makanan itu untuk anak-anak mereka.

Marcus di laman twitter berkata: "Saya tidak tahu apa yang perlu diungkapkan. Hanya lihat apa yang boleh kita lakukan apabila kita bersatu, ini adalah England pada 2020."

Jurucakap Perdana Menteri hari ini berkata, kerajaan akan meneruskan dana makanan COVID-19 sepanjang musim panas.

Beliau berkata: "PM (Perdana Menteri) mengalu-alukan sumbangan Marcus Rashford dalam perbahasan mengenai kemiskinan dan saya berkata dia akan memberi respon secepat mungkin," kata jurucakap itu.

Sebelum ini, Rashford menulis surat meminta kerajaan Britain meneruskan bantuan menyediakan makanan percuma kepada kanak-kanak yang datang dari keluarga susah ketika cuti musim panas.

Kanak-kanak susah mendapat makanan sekolah percuma ketika perintah berkurung COVID-19 dengan pemberian baucar untuk dibelanjakan di pasar raya.

Kira-kira 1.3 juta murid dari keluarga pendapatan rendah menerima makanan sekolah percuma namun skim berkenaan di England tidak akan diteruskan ketika musim cuti sekolah yang bermula bulan depan.

Penyerang antarabangsa England itu, yang membantu mengumpulkan dana sebanyak £20 juta (RM107 juta) bagi yayasan FareShare, menerima bantuan berkenaan ketika zaman kanak-kanak. - AGENSI



Sumber : Kemenangan bergaya Rashford

Post a Comment

0 Comments