KOM harap KBS benarkan kembali berlatih 1 Julai

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) berharap Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara (MSN) dapat memberi lampu hijau kepada atlet badan induk itu untuk kembali menjalani latihan bermula 1 Julai ini.

Presiden KOM, Datuk SM Muthu, berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan kedua-dua pihak terbabit bagi membincangkan mengenai prosedur operasi standard (SOP) untuk membolehkan atlet kembali berlatih.

Katanya, menerusi persidangan video dengan Persekutuan Olahraga Dunia (WA) baru-baru ini, badan induk berkenaan ada menggariskan beberapa panduan yang boleh diikuti.

"Akan ada satu lagi persidangan video selepas ini dengan WA dan selepas itu kami akan bawa kepada MSN untuk dibincangkan. Ada kelonggaran-kelonggaran yang diberikan bagi membolehkan atlet kembali berlatih.

"Sudah lebih tiga bulan atlet tidak berlatih dan ini sesuatu yang tidak baik untuk mereka. KBS ada memberi kelonggaran kepada beberapa persatuan sukan yang lain dan saya harap KOM juga dapat diberi kelonggaran.

"Kami harap atlet dapat kembali berlatih pada 1 Julai tetapi apa pun perlu mendapat kebenaran daripada KBS dan MSN terlebih dahulu," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, SM Muthu menyambut baik langkah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, semalam yang mengumumkan Inisiatif Prihatin Sukan 2020 berjumlah RM10 juta buat persatuan sukan kebangsaan yang berdaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS).

Inisiatif berkenaan adalah bagi meringankan beban persatuan sukan kebangsaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

"Saya mengalu-alukan keputusan KBS yang ingin membantu sektor sukan pada masa ini. Saya percaya bantuan khas ini akan memanfaatkan atlet dan jurulatih negara. KOM sangat menghargai dan berterima kasih atas bantuan khas yang akan diberi KBS," katanya.



Sumber : KOM harap KBS benarkan kembali berlatih 1 Julai

Post a Comment

0 Comments