Malaysia kembali catat lebihan dagangan

KUALA LUMPUR: Malaysia kembali mencatatkan lebihan dagangan RM10.41 bilion pada Mei, melantun semula daripada defisit dagangan RM3.63 bilion yang dicatatkan pada April, meskipun eksport secara keseluruhan adalah lebih lemah daripada jangkaan.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan berkata, pada Mei 2020, Malaysia merekodkan lebihan dagangan melebihi RM10 bilion bagi kali keempat pada tahun ini.

Ia berkata, lebihan dagangan mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 14.7 peratus tahun ke tahun kepada RM10.41 bilion, yang juga angka tertinggi yang dicatatkan bagi bulan Mei sejak 2008.

"Perdagangan Malaysia bagi lima bulan pertama tahun ini bagaimanapun mencatatkan pengurangan sebanyak 8.7 peratus kepada RM688.57 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Perdagangan yang lebih rendah direkodkan dengan Thailand, Singapura, India, China dan Hong Kong, manakala dagangan dicatatkan meningkat dengan Korea Selatan dan Indonesia.

"Eksport bagi tempoh itu merosot 9.7 peratus kepada RM366.16 bilion dan import berkurang 7.5 peratus kepada RM322.41 bilion. Lebihan dagangan bernilai RM43.75 bilion, susut 23 peratus berbanding tempoh sama tahun 2019," katanya.

Angka eksport Malaysia bagi Mei kekal kurang memberangsangkan apabila jatuh sebanyak 25.5 peratus berbanding Mei tahun lalu, penurunan terburuk dalam tempoh lebih sedekad, akibat impak pandemik COVID-19.

Prestasi itu adalah selari dengan negara serantau lain yang turut merekodkan penurunan pertumbuhan perdagangan pada Mei 2020 berikutan pandemik COVID-19 yang terus memperlahankan aktiviti ekonomi secara global.

MITI berkata, jumlah perdagangan bulan lalu bernilai RM114.96 bilion, susut 27.8 peratus berbanding Mei 2019.

"Perdagangan yang lebih rendah direkodkan terutama dengan Singapura, Thailand, India, China, Jepun dan Indonesia.

"Eksport berjumlah RM62.69 bilion, merosot 25.5 peratus manakala import berkurang 30.4 peratus kepada RM52.27 bilion.

"Berbanding April 2020, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing susut sebanyak 13.7 peratus, 3.2 peratus dan 23.6 peratus," katanya.

Bagaimanapun, MITI berkata eksport keluaran getahn terutama sarung tangan getah mencatatkan pertumbuhan dua angka bagi dua bulan berturut-turut, meningkat 20.5 peratus atau RM461 juta pada Mei 2020.

Katanya, eksport keluaran getah yang lebih tinggi disumbangkan oleh peningkatan permintaan sarung tangan getah yang mendapat kelebihan daripada pandemik ini.



Sumber : Malaysia kembali catat lebihan dagangan

Post a Comment

0 Comments