Parah ditetak rakan sekerja

LIMBANG: Seorang lelaki yang bekerja sebagai pemandu penghantar barang, parah ditetak rakan sekerja yang tidak puas hati isu pembahagian kerja.

Dalam kejadian di Kampung Belading, di sini, 12.10 tengah malam tadi, mangsa Khairil Azwan Abdullah, 22, ditetak di kedua-dua belah kaki.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata polis menerima laporan berhubung kes itu selepas dimaklumkan Hospital Limbang jam 9.30 pagi tadi.

"Punca kejadian suspek tidak berpuas hati apabila majikan memberikan peluang pekerjaan kepada mangsa lebih daripada peluang kepadanya.

"Ini disebabkan suspek sukar dihubungi apabila diperlukan untuk menghantar barang dari Miri ke Limbang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abang Zainal Abidin berkata, polis menahan suspek dan merampas sebilah parang dalam kenderaan milik suspek di hutan dekat Kampung Belading Tedungan, jam 3 petang tadi.

"Hasil soal siasat suspek mengaku berada di bawah pengaruh alkohol menetak kedua-dua belah kaki mangsa menggunakan parang," katanya.

Beliau berkata, permohonan reman akan dilakukan esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.



Sumber : Parah ditetak rakan sekerja

Post a Comment

0 Comments